Berita Menarik

Perdana Menteri Lancar NACS 2024 – 2028, Usaha Perkukuh Tatakelola Baik Negara

Putrajaya, 7 Mei – YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024 – 2028 sebagai sebuah dasar yang perlu untuk menyelamatkan negara.

 

Perdana Menteri berkata, ketirisan berbilion ringgit seperti yang dinyatakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mampu menyelamatkan dan membasmi kemiskinan rakyat.

 

“Bayangkan pembasmian kemiskinan, sekolah, hospital, prasarana rakyat, nasib nelayan, petani, pekebun kecil getah, sawah padi… hampir semua boleh kita bereskan sekiranya kita dapat selamatkan negara daripada kerakusan, tamak haloba orang yang guna kuasa, kedudukan sama ada pimpinan politik atau penjawat awam atau swasta kerana tamak haloba yang tidak terkawal.

 

“Kita tidak harus pandang ringan terhadap isu rasuah yang terus membengkak. Malaysia memerlukan kesungguhan dan tekad ikhlas bagi memerangi rasuah memandangkan ia merupakan satu dasar yang perlu bagi menyelamatkan negara dan rakyat.

 

“Jadi, saya yakin, sebagai tunggak SPRM bersama badan penguatkuasaan, ambil ini sebagai tanggungjawab dan satu kekuatan baharu.

 

"Saya punya keyakinan kepada Azam (Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki) dan keluarga SPRM yang telah diberi amanah, kepercayaan dan dukungan, tidak kenal darjat dan kedudukan untuk membanteras rasuah supaya rakyat dapat mesej yang jelas," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran NACS 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

 

Mengenai NACS 2024-2028, Perdana Menteri berkata, sebanyak lima strategi digariskan kerajaan melibatkan aspek pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan selain ganjaran dan insentif.

 

Terdahulu, Tan Sri Azam dalam ucapan aluannya berkata, NACS ini merupakan salah satu langkah Kerajaan dalam membangunkan strategi pembanterasan rasuah nasional yang juga selari dengan Artikel 5 United Nations Convention Against Corruption (UNCAC), yang menetapkan bahawa semua negara anggota termasuk Malaysia untuk menghasilkan satu dokumen yang menjadi rujukan utama bagi inisiatif-inisiatif antirasuah di peringkat nasional.

 

Turut hadir dua Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali.


Hit : 471