Berita Menarik

MAM Perkukuh Hubungan Simbiotik SPRM Bersama Media

Kuala Lumpur, 27 April -Majlis Anugerah Media (MAM) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2023 merupakan platform untuk terus membina dan memelihara jalinan kerjasama yang baik antara SPRM dan media massa.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata,  hubungan simbiotik antara SPRM dan media akan dapat membantu melahirkan pasukan komunikasi yang lebih cekap dalam mengendalikan maklumat.

 

"Dengan adanya hubungan baik yang terjalin ini, SPRM juga dapat memberi penjelasan yang betul dan tepat melalui media agar rakyat dapat memahami apa jua masalah yang mungkin timbul.

 

"Bukan itu saja, hasilnya juga berita-berita operasi dan publisiti pencegahan rasuah dapat disampaikan secara meluas ke seluruh negara dan di peringkat antarabangsa menerusi media," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Media SPRM 2023 yang diadakan di Hotel Impiana KLCC, di sini, semalam.

 

Sementara itu, Laporan 'Pakej Beli Bayi' mengangkat Harian Metro (HM) sebagai pemenang utama kategori media cetak dan portal berita sempena Anugerah Media SPRM 2023.

 

Laporan yang dihasilkan Pengarang Berita HM, Mohd Jamilul Anbia Md Denin, melayakkan beliau menerima hadiah wang tunai RM6,000, plak dan sijil.

 

Bagi kategori media elektronik, Sinar Channel merangkul hadiah utama menerusi laporan 'SPRM Ambush Raja Scammer' yang dihasilkan Ketua Unit Docu Sinar Channel, Salmiah Druhamad Drahsin melayakkan beliau menerima hadiah wang tunai RM6,000 selain plak dan sijil.

 

SPRM turut membuat kejutan apabila memberi wang tunai RM2,000 sebagai hadiah tambahan kepada setiap pemenang.

 

Kesemua anugerah disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

 

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Pengarah-Pengarah Bahagian, Ketua-ketua Pengarang Media serta wartawan.


Hit : 411