Berita Menarik

Pegawai SPRM Perlu Kompeten Dalam Melahirkan Pelapis Berkaliber

Putrajaya, 17 April - Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menganjurkan Mesyuarat dan Bengkel Pengukuhan Organisasi SPRM Bil 4/2024: Sektor Operasi yang telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM pada 2 hingga 3 April lalu.

Selaras dengan hasrat Pengurusan Tertinggi SPRM, Program Pengukuhan Organisasi ini perlu dilaksanakan secara berterusan kerana terdapat keperluan pengukuhan semula organisasi melalui kaedah penjajaran dan penyusunan semula perjawatan serta fungsi sedia ada di Bahagian-bahagian dan SPRM Negeri secara menyeluruh meliputi Sektor Operasi, Pencegahan, serta Pengurusan dan Profesionalisme.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya dalam ucapan perasmian berkata, beberapa perkara perlu diberi penekanan dan difokuskan terhadap sektor operasi secara khususnya dan berkaitan organisasi SPRM.

“Dalam aspek pengisian perjawatan, kita perlu mengenalpasti calon pegawai yang bersesuaian dan berkompetensi serta melahirkan pelapis pegawai berkaliber untuk melaksanakan fungsi utama di sesuatu bahagian terutamanya bahagian yang melaksanakan fungsi kompleks dan teknikal.

“Manakala, isu Penempatan Secara Operasi juga harus dikurangkan agar kebergantungan terhadap seseorang pegawai terlalu lama tidak berlaku dan perlu melaksanakan ‘pemindahan pengetahuan’ antara pegawai lama dan baharu di semua peringkat," katanya.

Katanya, setiap Bahagian di SPRM juga perlu memikirkan fungsi baharu atau memperluaskan skop tugasan selaras dengan cabaran semasa dan  akan datang bagi tempoh jangka masa panjang.

Sementara itu, majlis penutup dan penyerahan sijil telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi. Hadir sama Pengarah BKP SPRM, Tuan Mohammad Shahizan Abdullah serta Pengarah-Pengarah Bahagian SPRM.

Hit : 370