Garis Masa Kes

OP Mitra

Siasatan SPRM

Pada akhir tahun 2021 dan awal tahun 2022, SPRM telah menjalankan siasatan melibatkan pengarah syarikat atau Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang disyaki terbabit dalam penyelewengan geran peruntukan bernilai ratusan jutaan ringgit yang dikeluarkan MITRA bagi tujuan pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

Siasatan yang dijalankan telah menghasilkan tangkapan seramai 21 orang (MITRA 1.0) individu dan 28 orang (MITRA 2.0) yang  melibatkan 32 buah syarikat dalam operasi besar-besaran yang dijalankan di seluruh Malaysia yang mana jumlah peruntukan yang telah disalurkan berjumlah RM26 juta (MITRA 1.0) dan RM58 juta (MITRA 2.0).

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati, syarikat atau NGO yang dilantik telah menyalahgunakan geran diberikan serta membuat resit palsu yang  menunjukkan program tersebut dijalankan sedangkan ianya tidak dijalankan.

Selain itu, kelemahan MITRA menguruskan dana termasuk kegagalan MITRA membuat pengesahan perbelanjaan secara terperinci, telah menyebabkan syarikat-syarikat dan NGO mengambil kesempatan untuk melakukan penyelewengan.

Seramai 49 orang telah ditangkap membabitkan 32 buah syarikat dan organisasi. Nilai suapan adalah sebanyak RM84 juta dengan lucuthak bernilai RM216,500.

Sehingga 1 Ogos 2022, sejumlah 7 individu telah dituduh di mahkamah berkaitan dengan penyalahgunaan Geran MITRA di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dan Perbicaraan

26 Oktober 2021 - Sejumlah 17 orang pengarah syarikat ditahan reman selama dua hingga tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki menyeleweng geran peruntukan yang dikeluarkan oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Kesemua mereka terdiri  daripada 16 lelaki dan seorang perempuan yang berusia antara 24 hingga 68 tahun telah ditahan lewat malam tadi dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Putrajaya, Tuan Shah Wira Abdul Halim selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

21 Januari 2022 - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 22 individu dalam operasi di tujuh negeri semalam, berhubung penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Jurucakap SPRM berkata, operasi dilakukan di di Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

Katanya, mereka yang ditahan termasuk presiden badan bukan kerajaan (NGO), pengarah syarikat dan setiausaha persatuan yang terbabit atau diberikan geran MITRA bagi menjayakan program pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India golongan B40.

18 Februari 2022 - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah dana Unit Tranformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah lebih RM5.2 juta pada Januari dan Ogos tahun lalu.

Tertuduh, L Ragu Raman, 52, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa Mahkamah di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Mengikut lima pertuduhan, tertuduh sebagai seorang ejen Pengarah syarikat Ternakan Kamran Sdn Bhd yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta dana daripada Unit Tranformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta masing-masing RM3,562,725.86; RM300,000; RM500,000, RM300,000 dan RM400,000.

Bapa kepada seorang anak berusia 15 tahun itu didakwa melakukan kesalahan di CIMB Bank Cawangan Teluk Intan di Jalan Pasar pada 29 Januari 2021.

19Februari 2022 - Seorang pengarah syarikat bergelar 'Datuk' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas 35 pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berkaitan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah RM276,625, tahun lepas.

Datuk Reghu P.V. Bhaskaran, 61, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dia dituduh mengemukakan laporan akhir mengandungi butiran palsu berkaitan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia Kementerian Perpaduan Negara Reform Training di bawah MITRA kepada Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan dan Latihan MITRA, R. Kavithah di pejabat unit itu di Putrajaya pada 5 Mei 2021.

21 Julai 2022 - Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, atas pertuduhan menyalahgunakan dana peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) pada Februari tahun lalu.

KC Ramananaidu, 32, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Ramananaidu didakwa menyalahgunakan wang tunai RM100,000 kepunyaan Kerajaan Malaysia menerusi Unit Mitra bagi Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India B40, di Malaysia melalui bidang pertanian.

Dia dituduh berbuat demikian di Agrobank Berhad Cawangan Sungai Petani, No. 12@13 Jalan PPZ 1, Pusat Perniagaan Zamrud, Kuala Muda pada 26 Februari 2021.

Pertuduhan dikemuka mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara tidak kurang enam bulan atau dengan sebatan dan denda.

29 Julai 2022 - Seorang pengarah institusi kewangan didenda RM85,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini berhubung penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Tertuduh, S Vijaya Kumar S Sinnakannu, 47, dikenakan denda itu selepas mengaku bersalah sebaik tuduhan pilihan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Suzana turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya telah menggunakan sebagai tulen suatu dokumen iaitu baucar bayaran bernilai RM75,000 yang mana beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

19 Jun 2023 - Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini atas tiga pertuduhan pilihan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu membabitkan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), dua tahun lalu.

Hakim Azura Alwi mendenda Datuk B. Reghu, 63, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas tiga pertuduhan tersebut.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 21 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut tiga pertuduhan pilihan itu, dia didakwa menggunakan dua invois bertarikh 25 November dan 18 Disember 2019 berjumlah RM25,000 sebagai tulen sementara satu lagi baucar bayaran bertarikh 29 November tahun sama.

Justeru bagi kesemua pertuduhan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

27 September 2023 - Seorang perunding perniagaan yang muflis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini pada Rabu, atas 15 pertuduhan menipu berhubung tuntutan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah RM331,047.40 tiga tahun lalu.

P Anbalahgan, 61, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan hakim, Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-15, lelaki itu didakwa menipu Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan Latihan MITRA, R Kavithah dengan memperdayakannya seperti penyata nama sebuah bengkel motor dan resit rasmi.

Ia atas nama bengkel itu dan invois yang dikemukakan dalam laporan berkala dan laporan akhir Prestasi Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia Kementerian Perpaduan Negara bertarikh 14 April 2020 sebagai tulen.

Perbuatan itu telah mendorong Kavithah untuk menyerahkan RM331,046.40 ke dalam akaun bengkel motor tersebut yang mana ia tidak akan diserahkan sekiranya tidak diperdayakan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di MITRA, Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 14 April 2020 hingga 3 Disember 2020.


Maklumat ini telah dikemaskinikan pada 16 April 2024.


Status Kes

Masih dalam perbicaraan


Laporan Media

Kenyataan Media


Hit : 614