Berita Menarik

Warga Kerja SPRM Diseru Terus Tingkatkan Kecemerlangan

Putrajaya, 4 April – Warga kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diseru untuk bersama-sama meningkatkan prestasi kerja melalui sistem penyampaian yang cemerlang.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, kecemerlangan diukur dengan keberkesanan dalam tindakan dan berstrategi supaya lebih diyakini oleh masyarakat.


“SPRM merupakan sebuah agensi yang sentiasa menjadi rujukan dalam isu-isu berkaitan integriti dan tatakelola.


“Saya menyeru seluruh warga kerja SPRM untuk mengawal dan memantau isu-isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, jenayah dan tatakelola dalam negara ini supaya kita menjaga imej yang baik kepada semua rakyat Malaysia,” katanya dalam ucapan pada Majlis Anugerah Apresiasi Kecemerlangan SPRM 2023, di sini hari ini.


Seramai 228 warga kerja SPRM yang terdiri daripada 144 orang pegawai dari Ibu Pejabat dan 84 orang dari SPRM Negeri telah diraikan dalam majlis ini.


Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam turut menyampaikan Anugerah Ketua Pesuruhjaya (AKPJ) Tahun 2023 kepada 36 pasukan projek yang telah berjaya dalam pelaksanaan program, aktiviti dan operasi berimpak tinggi kepada SPRM.


Selain itu, empat Bahagian dan SPRM Negeri telah menerima Anugerah Pengurusan Kewangan (APK) julung kalinya diperkenalkan sebagai pengiktirafan kecemerlangan dalam pengurusan kewangan.


Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi; Pengarah-pengarah Kanan Bahagian, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.


Hit : 650