Berita Menarik

62 Warga SPRM Khatam Al-Quran Imarah Ramadan Dengan Tadarus

Putrajaya, 4 April - Seramai 62 warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya khatam al-Quran dalam Program Nilai-nilai Murni (Ihya’ Ramadan) Peringkat Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam.


Kesemua mereka ini terdiri daripada 27 lelaki dan 35 wanita selepas mengikuti 9 program Tadarus al-Quran yang diadakan di Surau Safinatun Najah, Ibu Pejabat SPRM, sepanjang bulan Ramadan.


Penyampaian cenderahati kepada peserta-peserta tadarus telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Pengerusi PUSPANITA SPRM, Puan Sri Normah Mohd Zin. Program dimulai dengan majlis khatam al-Quran, doa khatam al-Quran, berbuka puasa, diikuti solat Maghrib, Isyak serta Tarawih secara berjemaah.


Program tadarus ini merupakan salah satu daripada program mengimarahkan Ramadan yang dianjurkan Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) SPRM dengan kerjasama Surau Safinatun Najah, Yayasan Prihatin SPRM dan PUSPANITA SPRM.


Ianya telah diadakan secara berselang-seli dengan Program Tazkirah Ramadan yang menampilkan beberapa penceramah jemputan antaranya Imam Kanan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Mohamad Afandi Che Harun; Timbalan Pengarah JIPS Agama dan kaunseling Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis, Dato’ Haji Ghazali Daud; Ustaz Rosli Daud dan Tuan Shamsul Ghau Ghau (selebriti).


Turut hadir menyerikan program ini adalah Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.


Hit : 497