Berita Menarik

SPRM Sedia Kongsi Kepakaran Bantu Fungsi Dan Tugas MCBA

Putrajaya, 3 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima kunjungan hormat daripada anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.


Kunjungan tersebut telah diketuai oleh Ketua Pengarah MCBA, CP Dato’ Sri Hazani Ghazali dan disambut oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki.


Dato’ Sri Hazani berkata, pertemuan dua hala ini bertujuan untuk berkongsi pengetahuan, bertukar-tukar pandangan berkaitan fungsi dan tugas MCBA serta menjalinkan kerjasama dengan SPRM.


“MCBA juga bercadang untuk mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama SPRM khususnya mendapatkan bantuan pegawai SPRM bagi membantu operasi agensi ini selain mendalami aspek berkaitan pengurusan tatakelola yang baik," katanya.


Beliau berkata, MCBA juga memohon pertimbangan SPRM untuk menyertai pasukan petugas khas membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan khususnya dalam aspek isu-isu jenayah di sempadan.


Sementara itu, Tan Sri Dato' Sri Azam menyambut baik hasrat MCBA untuk mengadakan kerjasama dengan SPRM dan bersetuju untuk membantu berkongsi kepakaran membabitkan pelbagai bidang seperti Perisikan, Pencegahan dan Penggubahan Wang Haram serta hal-hal lain berkaitan pentadbiran.


Turut hadir Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM, Dato’ Mohd Hafaz Nazar dan Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), Tuan Hj Mohd Gunawan Che Ab Aziz.


Hit : 600