Berita Menarik

Struktur Organisasi SPRM Dan Fungsinya Perlu Diperkasakan

Putrajaya, 29 Mac - Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menganjurkan Mesyuarat dan Bengkel Pengukuhan Organisasi SPRM Bil 2/2024: Sektor Pengurusan Dan Profesionalisme yang telah diadakan di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat SPRM pada 14, 15 hingga 18 Mac lalu.

 

Program Pengukuhan Organisasi ini perlu dilaksanakan secara berterusan ke arah menghasilkan dan mempertingkatkan kepimpinan pegawai SPRM yang berkualiti di samping memperkemaskan usaha melonjakkan imej SPRM sebagai sebuah agensi penguat kuasa yang berintegriti tinggi.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi berkata, bengkel yang diadakan ini merupakan platform naziran perjawatan bahagian-bahagian di bawah Sektor Pengurusan dan Profesionalisme bagi memastikan pematuhan ke atas aspek perjawatan, perskiman dan struktur organisasi bahagian-bahagian di bawah sektor ini.

 

 “Sudah sampai masanya struktur organisasi SPRM dan fungsinya diperkasakan untuk meneruskan kesinambungan fungsi dan peranannya dalam mempertingkatkan inisiatif-inisiatif kepada keberhasilan dalam penyiasatan dalam membanteras perlakuan rasuah di Malaysia.

 

“Antara cadangan penambahbaikan pengukuhan organisasi ini yang perlu ditambahbaik ialah penjenamaan semula nama bahagian agar selaras dengan fungsi; penyusunan semula dan memperkukuhan fungsi-fungsi sedia ada di bahagian serta penambahbaikan isu-isu berkaitan pengurusan sumber manusia melibatkan perkhidmatan, perjawatan, pembangunan modal insan dan kompetensi pegawai-pegawai SPRM,” katanya.

 

Beliau berkata, kesemua cadangan ini akan diperhalusi dan dikaji secara terperinci untuk mendapatkan persetujuan Pengurusan Tertinggi SPRM bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam aspek pengurusan antaranya dengan memastikan perbelanjaan peruntukan SPRM secara berhemah, pemantapan sumber manusia, pengukuhan integriti warga SPRM dan peningkatan kawalan keselamatan.

 

Turut hadir Pengarah BKP SPRM, Tuan Mohammad Shahizan Abdullah serta Pengarah-Pengarah Bahagian di bawah Sektor Pengurusan dan Profesionalisme SPRM.


Hit : 701