Garis Masa Kes

OP Jana Wibawa 3 (Adam Radlan)

Siasatan SPRM

Siasatan bermula dari 3 Januari 2023 berkaitan syarikat-syarikat yang menerima dana daripada kerajaan di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Projek Janawibawa).

Projek Jana Wibawa dilaksanakan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 April 2020 dengan objektif untuk membantu kontraktor Bumiputera melalui pemberian kontrak secara rundingan terus dengan latar belakang kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19. 

Di bawah program ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM12.25 bilion bagi pelaksanaan 89 projek pembinaan jalan, bangunan dan infrastruktur. Daripada 89 projek ini, hanya 56 projek telah dikeluarkan SST dan melibatkan kos sebanyak RM6.5 bilion.

Siasatan SPRM tertumpu kepada 29 buah syarikat yang melibatkan 31 kontrak dengan nilai RM4.79 bilion.

Hasil siasatan mendapati modus operandi bagi isu ini adalah “Orang Tengah” dikesan meletakkan syarat supaya kontraktor yang berjaya melalui kaedah rundingan terus hendaklah bersetuju untuk memberi sumbangan kepada sebuah Parti Primbumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan sejumlah peratusan daripada nilai projek.

Dalam isu pertama, siasatan SPRM terhadap ahli perniagaan, Adam Radlan bin Adam Muhamad mendapati individu berkenaan telah menerima suapan berjumlah RM2 juta sebagai upah membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. di bawah kawalan Lian Tan Chuan bagi mendapatkan projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Projek Jana Wibawa) iaitu projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara Selangor berjumlah RM141 juta.

Adam Radlan dikatakan telah membantu Lian Tan Chuan dengan membawa surat minat dan profail syarikatnya ke Pejabat Perdana Menteri bagi mendapatkan projek tersebut.

Pada sekitar sekitar Januari 2022, Adam Radlan telah meminta Lian Tan Chuan datang berbincang dengannya mengenai sumbangan politik setelah surat setuju terima (SST) diterima oleh  syarikat Nepturis Sdn. Bhd.

Adam Radlan telah berjumpa Lian Tan Chuan selepas syarikat Nepturis Sdn. Bhd menerima SST projek tersebut di Publika, Damansara. Adam Radlan dikatakmeminta sumbangan wang dibuat ke akaun syarikatnya iaitu Bayu Bumiraya Sdn. Bhd.

Setelah persetujuan  kedua-dua pihak, pembayaran sumbangan politik sebanyak RM2 juta perlu dibayar secara ansuran sepuluh (10) kali pembayaran sebanyak RM200,000 ke akaun bank CIMB milik syarikat Adam Radlan.

Keseluruhan pembayaran telah dibuat oleh Lian Tan Chuan bermula pada 5 April 2022 sehingga 5 Januari 2023.

Selain itu, dalam isu kedua, pada tahun 2021 hingga 2023, ahli perniagaan, Adam Radlan bin Adam Muhammad dipercayai telah meminta dan menerima rasuah daripada pemilik syarikat MIE Infrastucture & Energy Sdn. Bhd., Mat Jusoh bin Mamat berjumlah RM2.6 juta sebagai balasan membantu syarikat tersebut mendapatkan projek membina jalan dari Sungai   Adam ke Kampung Banat, Perlis di bawah Projek Jana Wibawa.

Pertuduhan dan Perbicaraan

21 Februari 2023 - Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua (2) pertuduhan iaitu meminta wang tunai sebanyak 3.5% hingga 7% daripada nilai projek serta menerima wang tunai sebanyak RM500,000.00.

Dalam pertuduhan pertama, Adam Radlan didakwa telah meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga 7 peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd. pada Mac 2021 di sebuah restoran di Dutamas, Kuala Lumpur.

Perbuatan itu adalah sebagai dorongan untuk membantu syarikat berkenaan mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek Jana Wibawa daripada Kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan kedua, Adam Radlan didakwa menerima bagi dirinya menerima suapan sejumlah RM500,000 ke dalam akaun bank miliknya daripada pengarah syarikat sama pada 26 November 2021.

Perbuatan itu adalah sebagai upah untuk tertuduh yang membantu syarikat tersebut mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek membina jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai 47.8 juta.

Bagi dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua puluh tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau denda RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

22 Februari 2023 - Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu (1) pertuduhan iaitu menerima RM2.1 juta kerana membantu syarikat MIE Infrastructure untuk mendapatkan projek membina jalan di Sg. Adam ke Kg. Banat, Perlis.

Dalam pada itu, Adam Radlan Adam Muhammad turut didakwa di mahkamah sama atas satu (1) pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2 juta daripada Lian Tan Chuan bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor.

28 Februari 2023 - Adam Radlan Adam Muhammad didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu (1) pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2 juta daripada Lian Tan Chuan bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor.

14 Julai 2023 - Pengurusan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur

14 September 2023 -  Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan perbicaraan berlangsung selama 15 hari tahun 2024, iaitu pada 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun manakala Julai pada 9, 10, 11, 22, 23 dan 24 Julai, dan 5 hingga 7 Ogos, 2024.

Maklumat ini telah dikemaskinikan pada 15 Mac 2024.


Status Kes

Masih dalam perbicaraan


Laporan Media

Kenyataan Media

Hit : 942