Garis Masa Kes

OP Jana Wibawa 2 (Datuk Wan Saiful Wan Jan)

Siasatan SPRM

Siasatan bermula dari 3 Januari 2023 berkaitan syarikat-syarikat yang menerima dana daripada kerajaan di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Projek Jana Wibawa).

Projek Jana Wibawa dilaksanakan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 April 2020 dengan objektif untuk membantu kontraktor Bumiputera melalui pemberian kontrak secara rundingan terus dengan latar belakang kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19. 

Di bawah program ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM12.25 bilion bagi pelaksanaan 89 projek pembinaan jalan, bangunan dan infrastruktur. Daripada 89 projek ini, hanya 56 projek telah dikeluarkan SST dan melibatkan kos sebanyak RM6.5 bilion.

Siasatan SPRM tertumpu kepada 29 buah syarikat yang melibatkan 31 kontrak dengan nilai RM4.79 bilion.

Hasil siasatan mendapati modus operandi bagi isu ini adalah “Orang Tengah” dikesan meletakkan syarat supaya kontraktor yang berjaya melalui kaedah rundingan terus hendaklah bersetuju untuk memberi sumbangan kepada sebuah Parti Primbumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan sejumlah peratusan daripada nilai projek.

Op Jana Wibawa 2

Siasatan Op JW 2 adalah isu rasuah melibatkan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan sebagai Ketua Penerangan BERSATU pada tahun 2022. Siasatan mendapati adanya unsur rasuah yang mana Wan Saifulruddin, yang juga dikenali sebagai Wan Saiful, ahli Parlimen Tasek Gelugor, didapati telah meminta dan menerima rasuah daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd berjumlah kira-kira RM 6.9 juta sebagai balasan membantu syarikat tersebut mendapatkan Projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur bernilai RM 232 juta.

Dia juga juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Aduan dibuka bagi menjalankan siasatan dibawah Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM 2009).

Pertuduhan dan Perbicaraan

21 Februari 2023 – Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan, Ketua Penerangan BERSATU telah dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) ASPRM 2009 dengan jumlah keseluruhan kesalahan adalah RM6.9juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Mengikut pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana pada April 2022.

Tertuduh mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan dan mohon di bicarakan. Mahkamah telah menetapkan tertuduh di ikat jamin RM400,000.00 dengan seorang Penjamin warganegara Malaysia. Tertuduh diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

 Hakim menetapkan untuk Wan Saiful menyerahkan passport kepada Mahkamah dan perlu melaporkan diri di ibu pejabat SPRM dua bulan sekali pada minggu pertama. Tarikh sebutan semula pada 22 Mac 2023. Tarikh pengurusan kes berikutnya adalah pada 8 Mei 2023, 31 Mei 2023 dan 27 Jun 2023.

21 Julai 2023 - Wan Saiful gagal dalam permohonannya untuk mengetepikan dua pertuduhan rasuah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen. Hakim Rozina Ayob menetapkan perbicaraan kes dibuat pada tahun depan bermula 11 dan 12 Mac 2024; 25 hingga 27 Mac 2024; 29 hingga 30 April 2024; dan 20 hingga 22 Mei, 2024.

25 Oktober,2023 - Tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5.59 juta.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 November 2022, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan terbabit dan memohon dibicarakan.

1 Disember 2023 - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes pengubahan wang haram dan rasuah berhubung projek Jana Wibawa dihadapi Wan Saiful Wan Jan dibicarakan bersama.

Maklumat ini telah dikemaskinikan pada 15 Mac 2024.

Hit : 1069