Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)

Apakah objektif penubuhan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)?

  1. membiayai perjalanan bantuan dan nasihat guaman berhubung dengan prosiding     jenayah untuk dan bagi pihak mereka yang memerlukan bantuan guaman;
  2. menyediakan perkhidmatan bagi peguam swasta untuk mewakili mereka yang memerlukan pewakilan guaman (legal representation) dalam prosiding jenayah;
  3. menggalakkan, mengadakan, membiayai dan menyelia penyelidikan berkenaan dengan bantuan guaman;
  4. memulakan dan menjalankan program pendidikan yang bertujuan untuk memupuk kefahaman orang ramai mengenai hak, kuasa, keistimewaan dan kewajipan mereka di bawah undang-undang Malaysia; dan 
  5. menyediakan maklumat kepada orang ramai mengenai adanya bantuan guaman dalam perkara jenayah oleh peguam YBGK.

Apakah jenis-jenis perkhidmatan yang disediakan oleh YBGK?

YBGK menyediakan khidmat nasihat dan bantuan guaman dalam perkara jenayah termasuk jenayah Syariah kepada semua warganegara Malaysia di peringkat tangkapan, reman, permohonan ikat jamin, perbicaraan dan rayuan yang diberikan secara percuma. Ujian kemampuan hanya akan dijalankan untuk menentukan kelayakan penerima bantuan guaman di peringkat perbicaraan. Walau bagaimanapun, bantuan ini tidak meliputi kesalahan yang membawa hukuman mati kerana Mahkamah Tinggi akan menyediakan perkhidmatan peguam yang dilantiknya (assigned counsel) kepada tertuduh dalam kes sedemikian.

Apakah liputan perkhidmatan YBGK?

Perkhidmatan YBGK meliputi seluruh Malaysia. Walau bagaimanapun, perkhidmatan YBGK di Sabah hanya meliputi Kota Kinabalu, Papar, Penampang dan Tuaran manakala di Sarawak ia melibatkan Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu setelah mengambil kira kemampuan sumber manusia YBGK pada masa ini di kedua-dua negeri tersebut.

Apakah mekanisma pelaksanaan YBGK?

Operasi YBGK di Semenanjung Malaysia dibantu oleh Pusat Bantuan Guaman di setiap negeri di bawah kelolaan Majlis Peguam Malaysia manakala bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, Jabatan Bantuan Guaman bekerjasama dengan Persatuan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguam Bela Sarawak.

Bagaimana saya boleh mendapatkan perkhidmatan YBGK?

YBGK boleh dihubungi melalui nombor talian tol percuma 1-800-88-9245. Semua panggilan akan terus disalurkan kepada pusat operasi YBGK di seluruh Malaysia.

Apakah kriteria yang melayakkan saya mendapat bantuan guaman melalui YBGK?

Bantuan guaman dan khidmat nasihat dalam perkara jenayah akan diberikan    kepada mana-mana warganegara Malaysia yang memerlukan bantuan guaman di peringkat tangkapan, reman/tahanan dan permohonan ikat jamin. Ujian kemampuan hanya akan dijalankan untuk menentukan kelayakan orang yang akan menerima bantuan guaman bagi peringkat perbicaraan di mahkamah. Menurut ujian kemampuan  yang digunakan, orang yang layak yang layak menerima bantuan guaman diperingkat perbicaraan di mahkamah adalah mereka yang berpendapatan:
      1. tidak lebih daripada RM25,000 setahun di mana tiada sebarang bayaran yang akan dikenakan; atau 
      2. melebihi RM 25, 000 setahun tetapi tidak melebihi RM36, 000 setahun di mana bayaran tertentu yang akan ditetapkan oleh YBGK akan dikenakan.
Tertakluk kepada ujian kemampuan yang berkenaan, semua jenis kesalahan jenayah layak dibantu kecuali kesalahan yang membawa hukuman mati.

Sekiranya saya layak mendapat bantuan guaman, berapakah bayaran yang saya akan dikenakan, sekiranya ada?

Sekiranya kamu berpendapatan tidak lebih daripada RM25,000 setahun, tiada sebarang bayaran yang akan dikenakan. Namun demikian, sekiranya pendapatan kamu melebihi RM 25, 000 setahun tetapi tidak melebihi RM36, 000 setahun bayaran yang akan dikenakan adalah bergantung kepada kadar yang ditetapkan oleh  Lembaga Pengarah YBGK).

Adakah saya boleh memilih peguam yang akan mewakili saya untuk sesuatu perbicaraan di bawah YBGK?

Tidak boleh. Ini ialah kerana peguam yang mewakili kamu adalah dipilih dari kalangan peguam panel untuk YBGK dan ditentukan mengikut tatacara pengendalian piawai (standard operating procedure) yang ditetapkan oleh YBGK.
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
23
Semalam
148
Minggu Ini
861
Bulan Ini
1969

Keseluruhan
3408676