Pengenalan

YBhg. Dato' Sri Mohd Shukri Abdull telah berkhidmat selama 32 tahun bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum beliau bersara awal pada 4 Oktober 2016.

Beliau yang merupakan Tokoh Kesateria SPRM 2016 memegang jawatan terakhir sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.

Walau bagaimanapun, pada 2018, selepas berlaku peralihan kerajaan susulan Pilihan Raya Umum Ke-14, Dato' Sri Mohd Shukri kembali ke SPRM setelah dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 18 Mei 2018. Beliau melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 21 Mei 2018.

Tempoh pelantikan Dato' Sri Mohd Shukri selama dua tahun itu adalah selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Pada 6 Julai 2018, Dato' Sri Mohd Shukri telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ke-13 di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, di Istana Negara.

 

Biografi

Dato' Sri Mohd Shukri dilahirkan pada 4 Oktober 1960 di Pendang, Kedah. Beliau merupakan anak sulung daripada dua orang adik beradik kepada pasangan Abdull Awang dan Bashah Mohd Nor.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Guar Kepayang, Pendang seterusnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang sehingga tingkatan lima dan menyambung pengajian ke tingkatan enam di SMK Dato’ Syed Omar, Alor Setar, Kedah.

Dato' Sri Mohd Shukri kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) pada 1984.

Beliau mendirikan rumah tangga bersama Datin Sri Norzah Ahmad dan dikurniakan seramai lima orang cahaya mata.

Kerjaya beliau di SPRM (ketika itu Badan Pencegah Rasuah-BPR) bermula pada 1 September 1984 apabila ditempatkan sebagai Pegawai Siasatan di Cawangan Siasatan Akaun di Ibu Pejabat BPR. Antara tugas awal beliau adalah menjalankan siasatan kes-kes yang melibatkan akaun bank serta syarikat-syarikat kewangan.

Sepanjang tempoh 32 tahun bersama BPR/SPRM beliau telah berkhidmat di pelbagai cawangan di Ibu Pejabat dan SPRM Negeri termasuk di Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan dan Sabah.

 

Kronologi Perkhidmatan

  • 1 September 1984 
  • – Dilantik sebagai Pegawai Siasatan dan ditempatkan di Cawangan Siasatan Akaun, Ibu Pejabat BPR.
  • 1 April 1985
  • – Bertukar ke BPR Pulau Pinang sebagai Ketua Unit Siasatan.
  • 1 April 1987
  • – Bertukar ke Cawangan Tindakan Khas, Ibu Pejabat BPR sebagai Ketua Unit Siasatan.
  • 1 Disember 1991
  • – Bertukar ke BPR Kedah sebagai Ketua Unit Siasatan.
  • 1 Jun 1996
  • – Bertukar ke BPR Perlis dinaikkan pangkat ke Pegawai Siasatan Gred 2 serta menjawat jawatan Pengarah BPR Perlis.
  • 16 September 1999
  • – Bertukar ke BPR Kelantan sebagai Pengarah BPR Kelantan.
  • 1 Januari 2003
  • – Bertukar ke BPR Sabah dan dinaikkan pangkat kepada Penolong Kanan Pesuruhjaya 1 Gred KR54 dengan menjawat jawatan Pengarah BPR Sabah.
  • 16 Julai 2006
  • – Bertukar ke Ibu Pejabat BPR Malaysia sebagai Timbalan Pengarah Siasatan.
  • 1 September 2006
  • – Dinaikan pangkat sebagai Pengarah Siasatan Gred Jusa C dan pada 26 September 2008 dinaikkan pangkat ke Gred Jusa B.
  • 1 Januari 2010
  • – Dato' Sri Mohd Shukri dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM dengan Gred Jusa A dan Gred Utama Turus III pada 3 Oktober 2016.
  • 4 Oktober 2016
  • – Bersara sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.
  • 18 Mei 2018 hingga Kini
  • – Dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM Gred Utama Turus III.

 

Anugerah/Pingat

  • Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) 2013 (Membawa gelaran Dato’ Sri)
  • Darjah Seri Di Raja Kedah (DSDK) 2008 (Membawa gelaran Dato’)
  • Johan Setia Mahkota (JSM) 2008
  • Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) 2007 (Membawa gelaran Datuk)
  • Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) 2005
  • Bintang Cemerlang Kedah (BCK) 2005
  • Ahli Mahkota Perlis (AMP) 2000
  • Tokoh Kesateria SPRM 2016
  • Tokoh Alumni Tersohor Universiti Kebangsaan Malaysia 2016
  • Anugerah Perkhidmatan Cemerlang BPR 2002
  • Anugerah Perkhidmatan Cemerlang BPR 2000
  • Pingat Cemerlang BPR 1999
  • Anugerah Perkhidmatan Cemerlang BPR 1994
  • Anugerah Perkhidmatan Cemerlang BPR 1984

 

Senarai Ketua Pesuruhjaya

  • Tan Sri Harun bin Hashim - 10 Ogos 1967 - 25 Mac 1971
  • Tan Sri Ibrahim bin Salleh - 25 Julai 1971 - 4 November 1977
  • Dato' Abdullah bin Ngah - 5 November 1977 - 26 Ogos 1981
  • Dato' Abdul Aziz bin Ahmad - 27 Ogos 1981 - 15 Mei 1985
  • Tan Sri Dato' Abu Bakar Mohd. Noor - 16 Mei 1985 - 30 Julai 1987
  • Tan Sri Zulkifli bin Mahmood - 31 Julai 1987 - 15 Julai 1994
  • Dato' Shafee bin Yahaya - 16 Julai 1994 - 13 September 1998
  • Dato' Ahmad Zaki bin Haji Husin - 24 Mac 1999 - 23 Mac 2001
  • Datuk Seri Zulkipli bin Mat Noor - 1 April 2001 - 31 Mac 2007
  • Dato' Sri Haji Ahmad Said bin Hamdan - 1 April 2007 - 31 Disember 2009
  • Tan Sri Haji Abu Kassim bin Mohamed - 1 Januari 2010 - 1 Ogos 2016
  • Tan Sri Dzulkifli bin Ahmad – 1 Ogos 2016 - 14 Mei 2018
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
74
Semalam
159
Minggu Ini
233
Bulan Ini
3281

Keseluruhan
3404732