• Abd. Aziz Sebagai Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Baharu

     

    Aziz Sebagai Pengarah SPRM Wilayah PersekutuanPutrajaya Baharu

    DATUK Haji Abd. Aziz Aban secara rasminya mengambil alih jawatan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini.

    Pelantikan beliau adalah untuk menggantikan Dato’ Moh Samsudin Yusoff yang dilantik sebagai Pengarah SPRM Kelantan berkuat kuasa semalam.

    Beliau ketika memberi ucapan dalam Majlis Penyerahan Tugas di Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya berkata, diharapkan pelantikannya dapat menyumbang semula amalanamalan baik yang telah dipraktikkan oleh Moh Samsudin khususnya dari segi disiplin pegawai.

    Jelasnya, pengamalan disiplin yang bagus sangat penting bagi setiap pegawai SPRM bagi memastikan mereka menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan cemerlang.

    Dalam pada itu, Moh Samsudin dalam ucapannya berkata, beliau berharap semua pegawai di SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Abd. Aziz dan melaksanakan tugas dengan baik.

    Ujar beliau, kaedah penyiasatan di Putrajaya adalah berbeza berbanding tempat lain kerana ia melibatkan banyak kes berprofil tinggi.

    Seramai enam pegawai kanan SPRM terlibat dalam penukaran jawatan di bahagian dan negeri berkuat kuasa semalam.

    Pegawai kanan lain yang terlibat dalam penukaran tersebut termasuk Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Simi Abd. Ghani yang dilantik sebagai Pengarah SPRM Johor; Dato’ Norazlan Razali sebagai Pengarah SPRM Selangor; Dato’ Azmi Alias sebagai Pengarah SPRM Melaka dan Junipah Wandi sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA).

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    16 MAC 2016

    Abd. Aziz Sebagai Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya Baharu   PDF
  • Bauksit: Dua Lagi Kakitangan PTG Dituduh Terima Rasuah

    Bauksit: Dua Lagi Kakitangan PTG Dituduh Terima Rasuah

     

    DUA kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan hari ini berhubung kesalahan menerima suapan daripada seorang pelombong bauksit haram, awal bulan ini.

    Mohd. Nurfirdaus, 28, didakwa menerima rasuah wang tunai sebanyak RM8,500 daripada Anurul Hiraq Abu Bakar, 33, sebagai balasan kerana memberi perlindungan bagi menjalankan aktiviti perlombongan bauksit secara haram dengan menjual 50 helai Borang 13D.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 6.05 petang di Lorong Bukit Ubi 26, Bukit Sekilau, Kuantan pada 6 Januari lalu.

    Sementara itu, Abdul Rahim Sulaiman, 53, pula dituduh bersubahat bersama Mohd. Nurfirdaus menerima suapan wang tunai sebanyak RM8, 500 daripada individu sama sebagai balasan kerana memberi perlindungan bagi menjalankan aktiviti perlombongan bauksit secara haram.

    Mohd. Nurfirdaus yang bertugas sebagai Pembantu Awam dan Abdul Rahim, seorang Penolong Pentadbir Tanah di jabatan berkenaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof.

    Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 28 (1) (c) yang dibaca bersama Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (a) akta yang sama.

    Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shafinas Shabudin.

    Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM4,000 setiap seorang dan menetapkan 15 Februari 2016 sebagai tarikh sebut semula kes.

    Pada 13 Januari 2016, dua kakitangan PTG Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan atas tuduhan menerima wang tunai RM30,000 daripada seorang pelombong haram bauksit.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    18 JANUARI 2016

    PR-JAN-BAUKSIT-DUA-LAGI-KAKITANGAN-PTG-DITUDUH-TERIMA-RASUAH.pdf PDF
  • Guru Besar Hadapi Dua Tuduhan Terima Suapan RM4,400

    SEORANG guru besar sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan RM4,400 daripada seorang pengusaha kantin dua tahun lalu.

    Tertuduh, M. Subramaniam, 55, yang sebelum ini berkhidmat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rawang mengaku tidak bersalah berhubung kedua-dua pertuduhan yang dikenakan.

    Subramaniam didakwa menerima suapan berbentuk cek bernilai RM1,500 tanpa balasan daripada pengusaha kantin, K. Devega pada 30 Januari 2014, yang mempunyai tugasan rasmi dengan

    tertuduh iaitu mendapatkan surat sokongan bagi melanjutkan kontrak kantin di SJKT Rawang.

    Selain itu, Subramaniam didakwa menerima wang tunai sebanyak RM2,900 tanpa balasan daripada Devega pada 8 Oktober 2014 sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Hakim Selamat Yahya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

    Pendakwaan bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Hafezan Mat

    Kes akan disebut semula pada 16 Jun 2016.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    30 MAC 2016

    Guru Besar Hadapi Dua Tuduhan Terima Suapan RM4,400  PDF
  • JKR Sabah Tandatangan Komitmen Perangi Rasuah, Agensi Pertama Pada Tahun 2016

    JKR Sabah Tandatangan Komitmen Perangi Rasuah, Agensi Pertama Pada Tahun 2016

     

    JABATAN Kerja Raya (JKR) Sabah menzahirkan komitmen memerangi rasuah dengan menandatangani Sokongan Komitmen Anti Rasuah pada 15 Januari 2016.

    Dengan perkembangan ini, JKR muncul agensi pertama menyahut usaha dan inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada tahun 2016.

    Seramai 72 orang pegawai kanan JKR Sabah yang terdiri daripada timbalan-timbalan pengarah kerja raya Sabah, ketua-ketua penolong pengarah, jurutera-jurutera bahagian, ketua-ketua penguasa projek serta jurutera-jurutera daerah telah menzahirkan sokongan untuk mencegah jenayah rasuah dengan melafazkan ikrar di bawah pimpinan Timbalan Pengarah Kerja Raya Sabah, Yahiya Ag Kahar.

    JKR Sabah merupakan agensi keempat selepas Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Komputer Negeri Sabah dan Kementerian Sumber Manusia dan Teknologi Negeri Sabah menandantangani Sokongan Komitmen Anti Rasuah setakat ini.

    Majlis Ikrar Anti Rasuah dan Menandatangani Sokongan Komitmen Anti Rasuah yang berlangsung di Papar ini diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Panglima Sukarti Wakiman; Pengarah Kerja Raya Sabah, Amrullah Kamal dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, Hasbilah Mohamad Salleh.

    Menurut Hasbilah, JKR Sabah merupakan agensi kerajaan terawal yang menyahut cabaran SPRM untuk bersama-sama mencegah dan membanteras rasuah bagi tahun 2016.

    “Komitmen dan inisiatif JKR Sabah perlu dicontohi oleh agensi kerajaan lain kerana gejala rasuah perlu ditangani secara holistik bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap agensi kerajaan.

    “Dengan menandatangani Sokongan Komitmen Anti Rasuah ini, SPRM berharap JKR Sabah akan menggiatkan lagi usaha memerangi rasuah dan melahirkan pegawai berintegriti pada masa akan datang," kata beliau ketika memberi ucapan pada majlis tersebut.

    Sempena majlis ini, sesi dialog, soal jawab dan taklimat bagi menjelaskan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi meningkatkan kesedaran mengenai jenayah rasuah turut diadakan.

    Sementara itu, Amrullah ketika memberi ucapan pada majlis itu berkata, komitmen ini merupakan usaha yang penting bagi memantapkan pengurusan kualiti dan integriti jabatan, di samping meningkatkan kesedaran pegawai mengenai tanggungjawab dan tugas mereka sebagai penjawat awam.

    “Ketelusan dan kejujuran dalam setiap proses kerja memainkan peranan penting bagi memastikan kewujudan nilai akauntabiliti, dasar, peraturan dan tatacara yang jelas serta betul, termasuk penyeliaan perolehan, tender mahupun kontrak kerajaan,” kata beliau.

    Dalam pada itu, Sukarti memuji JKR Sabah kerana bersama-sama menyahut cabaran untuk membanteras rasuah selepas semua ketua Jabatan Negeri Sabah menandatangani komitmen yang sama pada 28 Mei 2015 atas inisiatif beliau.

    “Saya ingin berterima kasih kepada SPRM yang memberi bantuan secara berterusan kepada agensi kerajaan Negeri Sabah dari segi meningkatkan kesedaran penjawat awam mengenai rasuah.

    “Diharapkan penjawat-penjawat awam di negeri ini memberi keutamaan dalam soal meningkatkan amalan integriti bagi meningkatkan imej perkhidmatan awam yang lebih baik,” ujarnya.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    KOTA KINABALU, SABAH

    17 JANUARI 2016

    /images/JKR-Sabah-Tandatanga-Komitmen-Perangi-Rasuah-Agensi-Pertama-2016.pdf  PDF
  • Kes Rasuah Isu Kuota Beras ST15: Pengarah Dan Pengurus Syarikat Hadapi Tiga Tuduhan

    DUA individu yang merupakan pengarah dan pengurus syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini terhadap tiga pertuduhan bersubahat dan menerima rasuah RM135,000 bagi mendapatkan kuota beras ST15 dua tahun lalu.

    Nor Azamuddin Ahmad, 47, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah sebagai upah mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 300 metrik tan untuk seorang pemilik syarikat pada Mei hingga Julai 2014.

    Seorang lagi tertuduh, Farid Idris Khan, 36, dituduh bersubahat dengan Nor Azamuddin dalam ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi.

    Kedua-dua tertuduh didakwa secara berasingan di depan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Nor Azamuddin dituduh menerima suapan RM45,000 daripada Datuk Noridan Spee Yee selaku pemilik DCT Bakery Sdn Bhd sebagai dorongan mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 metrik tan bagi perniagaan MNS Utara Enterprise dan MFM Utara Enterprise bagi Mei 2014 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No 69, Persiaran KCT 4/3, Kulim Techno City Golf View, Kulim Hi-Tech Park, Kulim pada jam 10 malam, 4 Mei 2014.

    Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Nor Azamuddin dituduh mengulangi kesalahan sama dengan menerima suapan masing-masing berjumlah RM45,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk kononnya mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 metrik tan bagi perniagaan sama bagi bulan Jun dan Julai 2014.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu masing-masing pada 6 Jun dan 2 Julai di lokasi dan masa yang sama.

    Farid pula dituduh bersubahat menerima rasuah secara keseluruhan berjumlah RM135,000 pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai suapan.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar.

    Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 3 Mei 2016.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    9 MAC 2016

     

    Kes Rasuah Isu Kuota Beras ST15: Pengarah Dan Pengurus Syarikat Hadapi Tiga TuduhanPDF  
  • Kes Rasuah: Pegawai Polis Dihukum Penjara 2 Tahun, Denda RM200,000

    Kes Rasuah: Pegawai Polis Dihukum Penjara 2 Tahun, Denda RM200,000

     

    SEORANG pegawai polis berpangkat Inspektor dihukum penjara dua tahun dan denda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur hari ini berhubung tuduhan meminta suapan wang tunai RM40,000 untuk melepaskan seorang lelaki dari kes dadah.

    Hakim Alaudeen Ismail menetapkan hukuman tersebut terhadap Raviindran Krishnan, 34, di akhir perbicaraan kes.

    Kes bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim.

    Walau bagaimanapun, Raviindran memohon kepada mahkamah supaya menangguhkan pelaksanaan hukuman kerana ingin memfailkan rayuan. Alaudeen membenarkan rayuan difailkan dan menaikkan jumlah jaminan kepada RM17,000.

    Raviindran didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada November 2014 membabitkan satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai RM40,000 melalui telefon daripada Dhalgit Singh Mahinder Singh sebagai dorongan untuk melepaskan Manimaran Kumarasamy yang ditahan berhubung kes dadah.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kepong, Kuala Lumpur pada 4 Jun 2013. Kesalahan ini didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan didenda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

    Tertuduh merupakan seorang inspektor yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur pada masa dia ditahan.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    19 JANUAR1 2015

    Kes Rasuah: Pegawai Polis Dihukum Penjara 2 Tahun, Denda RM200,000 PDF
  • Kes SRC International Dan Dana RM2.6 Bilion: SPRM Akan Respons Arahan Peguam Negara Dalam Waktu Terdekat

    Kes SRC International Dan Dana RM2.6 Bilion: SPRM Akan Respons Arahan Peguam Negara Dalam Waktu Terdekat

     

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima kembali kertas siasatan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion daripada Jabatan Peguam Negara hari ini.

    SPRM mengambil maklum arahan daripada Jabatan Peguam Negara yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang telah dikemukakan oleh SPRM sebelum ini. Respons SPRM kepada permintaan Jabatan Peguam Negara akan dikemukakan dalam waktu terdekat.

    Sementara itu, SPRM ingin menjelaskan bahawa laporan portal berita Sarawak Report hari ini, yang mengatakan kononnya terdapat 37 syor dakwaan berasingan telah dikemukakan oleh SPRM terhadap YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan kes SRC International, adalah tidak benar.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    18 JANUARI 2016

    KES-SRC-INTERNATIONAL-DAN-DANA-R-2.6-BILION-SPRM-AKAN-RESPONS-ARAHAN-PEGUAM-NEGARA-DALAM-WAKTU-TERDEKAT.pdf pdf
  • Pembantu Veterinar Mengaku Bersalah Menerima Barang Berharga Tanpa Balasan Didenda RM20,000

    SEORANG Pembantu Veterinar Daerah Kulaijaya mengaku bersalah menerima barang berharga tanpa balasan dalam bentuk wang tunai lebih RM10,000 daripada seorang Ketua Pegawai Operasi syarikat swasta yang terlibat mengendalikan urusan pembekalan lembu di bawah Program Pinjaman Induk Tanpa Faedah (PINTAF), dua tahun lalu.

    Roslizam Hassan, 45, didakwa menerima wang tunai sebanyak RM10,800 melalui akaun bank isterinya, Saadiatul Ramniza Mohd Saad daripada Ketua Pegawai Operasi Syarikat Gemala, Zaiton Ibrahim Mohd Zahir yang mempunyai tugas rasmi dengan tertuduh.

    Hakim Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Johor Bahru, Mohd Haldar Abdul Aziz mengenakan denda RM20,000 dan hukuman penjara sehingga enam bulan jika gagal membayar denda.

    Tertuduh pada ketika itu bertugas sebagai Pembantu Veterinar di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Kulaijaya, mempunyai hubungan kerja-kerja rasmi yang dijalankan dengan Zaiton Ibrahim berhubung pembekalan tiga ekor lembu pejantan baka Brahman kepada penternak dalam Negeri Johor di bawah PINTAF sedangkan pembekalan tidak dibuat kepada penternak.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 13 Januari 2014, antara jam 9.15 pagi hingga jam 4.30 di Malayan Banking Berhad, No 37, Jalan 2/1 Taman Intan, Kluang Johor.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Tertuduh merupakan indidvidu kedua yang dituduh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dalam operasi yang dinamakan Ops Tanduk. Siasatan SPRM dalam Ops Tanduk pada April tahun lalu berhubung dengan penyelewengan dan pemalsuan dokumen kerja-kerja pembekalan lembu dan kerbau kepada penternak dalam program PINTAF.

    Pendakwaan bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorfazlin Hamdan.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    9 MAC 2016

     

    Pembantu Veterinar Mengaku Bersalah Menerima Barang Berharga Tanpa Balasan Didenda RM20,000 PDF
  • Pengurus Besar Anak Syarikat TNB Hadapi 14 Tuduhan Rasuah Hampir RM2 Juta, Kereta BMW

    SEORANG pengurus besar anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengaku tidak bersalah terhadap 14 pertuduhan menerima suapan wang tunai hampir RM2 juta dan sebuah kereta BMW 5 Series daripada Bina Mekar Sdn Bhd sebagai balasan memberikan diskaun membeli tembaga yang belum diproses.

    Dr Shahanom Uthman, 52, Pengurus Besar Bahagian Projek dan Servis, Malaysia Transformer Manufacturing (MTM) Sdn Bhd dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur , hari ini.

    Beliau didakwa menerima wang tunai berjumlah RM1,881,000 dalam 13 transaksi antara Disember 2013 dan Disember 2014.

    Tertuduh didakwa menerima suapan wang tunai yang bernilai antara RM20,000 dan RM330,000 daripada pengarah dan pekerja Bina Mekar Sdn Bhd sebagai balasan memberikan diskaun kepada timbangan berat tembaga yang belum diproses milik MTM Sdn Bhd kepada syarikat tersebut.

    Kesalahan-kesalahan didakwa dilakukan di lima lokasi berbeza iaitu di Starhilll Gallery, Bukit Bintang, Kuala Lumpur; Restoran Stadium Negara, Jalan Yap Kwan Seng; Restoran ZK Al-Azmi Garden, Bandar Baru Sentul dan di hadapan pejabat Bina Mekar Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur.

    Tertuduh turut didakwa menerima suapan dalam bentuk kereta model BMW 5 Series daripada Te Boon Chu, pekerja Bina Mekar Sdn Bhd pada 21 Julai 2014 lebih kurang jam 6 petang. Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di KL Festival City, Setapak Kuala Lumpur.

    Kes pendakwaan bagi pihak dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aida Azhar.

    Hakim Sohani Alias menetapkan jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua orang penjamin dan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

    Kes akan disebut semula pada 29 April 2016.

    Hakim juga membenarkan kesemua pertuduhan dibicarakan serentak.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    KUALA LUMPUR

    30 MAC 2016

    Pengurus Besar Anak Syarikat TNB Hadapi 14 Tuduhan Rasuah Hampir RM2 Juta, Kereta BMW PNG
  • PPO, PPPR Tidak Akan Dimansuhkan

    PPO, PPPR Tidak Akan Dimansuhkan

     

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyangkal laporan media bahawa kerajaan akan memansuhkan dua panel bebas yang memantau perjalanan SPRM iaitu Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang dibentuk secara pentadbiran di bawah Akta SPRM 2009.

    Kerajaan kini dalam proses membuat pelantikan keahlian panel-panel berkenaan bagi penggal baru.

    Dalam pada itu, berhubung siasatan isu SRC International dan RM2.6 billion, SPRM mengambil maklum nasihat dan syor yang diberi oleh PPO pada mesyuarat yang ke-29 panel itu semalam dan berharap perkara ini tidak disalah tafsir oleh mana-mana pihak sebagai satu tindakan mencabar kuasa Peguam Negara.

    Saya ingin menegaskan sebagaimana Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan kuasa pendakwaan adalah di bawah Peguam Negara.

     

    TAN SRI ABU KASSIM MOHAMED

    KETUA PESURUHJAYA

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    25 FEBRUARI 2016

     

    PPO, PPPR Tidak Akan Dimansuhkan  PDF

     

     

    Terma Rujukan Panel Perundingan Dan Pencegahan Rasuah

     

    1. Meneliti dan memperakukan kepada Suruhanjaya bidang tumpuan atau priority areas amalan, sistem dan tatacara kerja di sektor awam dan swasta yang membuka ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah

     

    2. Meneliti dan menambah baik laporan yang disediakan oleh Suruhanjaya berhubung dengan perakuan bagi menutup ruang dan peluang jenayah rasuah berkembang di sektor awam dan swasta

     

    3. Membentuk dan menggubal amalan baik (best practices) dalam bidang-bidang tumpuan dari semasa ke semasa

     

    4. Menasihati dan memperakukan kepada Suruhanjaya berhubung keberkesanan pelaksanaan program penerangan dan perhubungan masyarakat serta kempen-kempen ke arah meningkatkan kesedaran tentang jenayah rasuah dan mendapatkan sokongan mereka

     

    5. Memantau dari semasa ke semasa sikap dan persepsi umum masyarakat terhadap rasuah dan usaha yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya dan mengesyorkan tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan

     

    6. Membantu Suruhanjaya sebagai key communicator dalam meraih sokongan masyarakat, pihak media dan sektor-sektor yang dikenal pasti terhadap usaha-usaha pencegahan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya

     

    7. Meneliti, mengkaji dan memperakukan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah berhubung cadangan untuk meningkatkan keberkesanan usaha pencegahan rasuah oleh Suruhanjaya dan:

     

    8. Mengemukakan laporan tahunan, ulasan dan cadangan PPPR kepada Y.A.B. Perdana Menteri berhubung dengan pencapaian aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya.

     

     

    Terma Rujukan Panel Penilaian Operasi

    1. Menerima dan meneliti semua aduan yang diterima oleh Suruhanjaya dan tindakan-tindakan yang diambil terhadap aduan berkenaan

     

    2. Menerima dan meneliti laporan daripada Suruhanjaya berhubung Kertas Siasatan yang mana tempoh siasatan melebihi tempoh 12 bulan

     

    3. Menerima laporan daripada Suruhanjaya berhubung semua kes di mana Orang Yang Ditangkap yang dilepaskan dengan jaminan oleh Suruhanjaya melebihi 6 bulan

     

    4. Menerima dan meneliti laporan daripada Suruhanjaya berhubung keputusan-keputusan Kertas Siasatan yang telah diperoleh dari Pendakwa Raya

     

    5. Menerima dan meneliti laporan daripada Suruhanjaya berhubung Kertas Siasatan yang dikemukakan kepada Pendakwa Raya dan tidak mendapat apa-apa keputusan selepas tempoh melebihi 6 bulan ke atas

     

    6. Memberi pendapat berhubung tindakan-tindakan ke atas kes-kes yang diputuskan untuk tidak dituduh

     

    7. Meneliti, mengkaji dan memperakukan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah berhubung cadangan untuk meningkatkan keberkesanan operasi siasatan suruhanjaya dan:

     

    8. Mengemukakan laporan tahunan dan ulasan PPO kepada Y.A.B. Perdana Menteri berhubung dengan perjalanan operasi siasatan Suruhanjaya.

  • Rasuah Berlian: Bekas Eksekutif Jualan Tukar Pengakuan, Didenda RM300,000

    Rasuah Berlian: Bekas Eksekutif Jualan Tukar Pengakuan, Didenda RM300,000

     

    Seorang bekas eksekutif jualan barangan kemas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur hari ini atas lapan pertuduhan menerima rasuah dalam bentuk berlian dan wang tunai berjumlah RM167,087 daripada sebuah syarikat pembekal batu permata tiga tahun lalu.

    Lai Siew Moy, 46, dijatuhkan hukuman denda berjumlah RM300,000 dan penjara sehari bagi setiap satu pertuduhan. Hakim Mohd. Nasir Nordin juga menetapkan hukuman penjara dijalankan secara serentak.

    Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut pada pertengahan November 2015, tetapi tertuduh tidak mengaku salah. Sebaliknya mengaku bersalah hari ini yang sepatutnya hari pertama perbicaraan.

    Mahkamah turut mengarahkan supaya seutas gelang tangan berlian dan dua butir berlian yang bernilai RM88,000 yang diambil sebelum ini dipulangkan semula kepada Elegance Club (M) Sdn. Bhd.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.

    Tertuduh didakwa menerima rasuah dalam bentuk wang tunai berjumlah RM78,666 dan berlian bernilai RM88,421 daripada pemilik syarikat pembekal itu, Niket Maheskumar Parikh secara berperingkat-peringkat melalui akaun milik suami tertuduh, Peter Wong Chee Seng.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh Lai di antara 23 November 2012 dan 26 Oktober 2013 di CIMB Bank Bhd di KL Sentral, Kuala Lumpur dan pejabat Elegance Club di Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur.

    Pendakwaan bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Heikal Ismail.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    25 FEBRUARI 2016

    Rasuah Berlian: Bekas Eksekutif Jualan Tukar Pengakuan, Didenda RM300,000 PDF
  • Rasuah Dapatkan Lesen Memandu: SPRM Sarawak Tahan 14 Individu

    Rasuah Dapatkan Lesen Memandu: SPRM Sarawak Tahan 14 Individu

     

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sarawak telah menahan 14 orang bagi membantu siasatan berhubung isu lesen terbang dalam satu operasi khas yang dilancarkan sejak 11 Januari 2016.

    Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sembilan orang awam yang ingin mendapatkan lesen memandu serta dua orang yang bertindak sebagai orang tengah.

    Kesemua mereka ditahan di sekitar Limbang, Miri, Bintulu dan Sibu. Mereka berumur antara 19 dan 50 tahun.

    Ketiga-tiga pegawai JPJ dan seorang orang tengah yang ditahan juga telah direman selama tujuh hari selepas tangkapan lalu.

    Siasatan awal SPRM menunjukkan suapan diberikan bagi mendapatkan lesen memandu kenderaan pelbagai kelas tanpa perlu menduduki ujian memandu. Pihak terbabit didapati cuba memperoleh lesen dengan mengemukakan dokumen palsu permohonan pertukaran lesen Brunei ke lesen Malaysia.

    Nilai suapan dianggarkan antara RM2,500 dan RM2,800 bagi satu lesen mengikut kelas kenderaan yang dipohon.

    Operasi khas ini masih berjalan dan dijangka akan terdapat susulan tangkapan dalam masa yang terdekat.

    Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini diminta menghubungi SPRM Sarawak di talian 082-467701 atau 082-467702 bagi membantu siasatan.

     

    DATO’ BADRUL SHAH NORMAN

    PENGARAH

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA NEGERI SARAWAK

    KUCHING

    18 JANUARI 2016

    Rasuah Dapatkan Lesen Memandu: SPRM Sarawak Tahan 14 Individu PDF
  • Rasuah: Inspektor Polis Dihukum Penjara 46 Bulan, Denda RM80,000

    Rasuah: Inspektor Polis Dihukum Penjara 46 Bulan, Denda RM80,000

     

    SEORANG inspektor polis hari ini dihukum penjara 46 bulan dan denda RM80,000 atas tiga kesalahan meminta rasuah bagi melindungi aktiviti pembalakan haram di Kapit, Sarawak.

    Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Sibu memutuskan Inspektor Mohamad Nazeri Daheri, 36, bersalah atas tiga pertuduhan meminta rasuah. Dia dituduh pada 4 Ogos 2015.

    Nazeri yang sebelum ini bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kapit merupakan kumpulan pertama yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 20 Oktober 2014 bagi membendung pembalakan haram di Sarawak.

    Dia dituduh menerima suapan sebanyak tiga kali daripada seorang individu dengan nilai terkumpul RM16,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti pembalakan haram di Sungai Sut, Kapit.

    Hakim Nixon Kennedy Kumbong ketika membacakan hukuman memberitahu, hukuman akan berjalan secara berasingan.

    "Jika plaintif gagal membayar denda, maka tambahan penjara 16 bulan akan dikenakan," kata beliau.

    Bagi kesalahan atas pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara 12 bulan dan denda RM15,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda manakala pertuduhan kedua membawa hukuman penjara 14 bulan dan denda RM25,000 atau hukuman penjara lima bulan jika gagal menjelaskan denda. Sementara itu, tertuduh berhadapan dengan penjara 20 bulan dan denda RM40,000 atau penjara lapan bulan jika tidak membayar denda.

    Menurut fakta kes, Nazeri dituduh melakukan perbuatan tersebut untuk kali pertama pada 24 Ogos 2014, dengan menerima suapan RM3,000 di Tekam Cafe, Kapit.

    Nazeri sekali lagi menerima habuan sebanyak RM5,000 di Maybank Kapit pada 11 September tahun yang sama sebelum mengulanginya pada 20 Oktober di Riverfront Cafe, Hotel Kingwood, Sibu dengan amaun RM8,000.

    Kes dibicarakan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

    Bagi kesalahan pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara 12 bulan dan denda RM15,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda manakala pertuduhan kedua membawa hukuman penjara 14 bulan dan denda RM25,000 ataua hukuman penjara lima bulan jika gagal menjelaskan denda. Sementara itu, tertuduh berhadapan dengan penjara 20 bulan dan denda RM40,000 atau penjara lapan bulan jika tidak membayar denda.

    Pendakwaan bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    18 FEBRUARI 2016

    Rasuah: Inspektor Polis Dihukum Penjara 46 Bulan, Denda RM80,000 PDF  
  • SPRM Anjur Majlis Penerangan Bersama ‘Key Communicator’, Hargai Usaha Diambil Ketua Menteri Sarawak Perangi Rasuah

    SPRM Anjur Majlis Penerangan Bersama ‘Key Communicator’, Hargai Usaha Diambil Ketua Menteri Sarawak Perangi Rasuah

     

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak telah menganjurkan program Majlis Penerangan SPRM Sarawak Bersama ‘Key Communicator’ Pemimpin Politik Kawasan Parlimen Sibuti, Ketua-Ketua Agensi Kerajaan Berisiko Tinggi dan Pemimpin-pemimpin NGO Bahagian Miri di Miri, hari ini.

    Majlis ini merupakan satu lagi pertemuan yang bermakna, di mana lebih 70 pemimpin politik yang terdiri daripada kalangan Ketua Pemuda, Ketua Cawangan dan Ketua Bahagian di kawasan Parlimen Sibuti, dan ketua agensi-agensi penguatkuasaan serta NGO menghadiri program sehari ini. Pertemuan hari ini merupakan program pertama diadakan di Bahagian Miri. SPRM Sarawak telah menganjurkan siri program seumpama ini di Sarawak sejak tahun lalu.

    Program ini diadakan bagi memberi penerangan mengenai peranan dan fungsi SPRM dalam usaha membanteras penyalahgunaan kuasa dan jenayah rasuah serta mendidik masyarakat agar mengamalkan budaya bebas rasuah, sekali gus meraih sokongan semua lapisan masyarakat bagi membentuk kerjasama ke atas usaha pencegahan rasuah.

    Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sri Haji Mustafar Ali telah menyampaikan taklimat bertajuk "Merakyatkan SPRM - Kepimpinan Berintegriti dan Berwibawa".

    Turut hadir pada program ini Residen Bahagian Miri, Antonio Kahti Galis dan Ahli Parlimen Sibuti, YB Ahmad Lai Bujang. Pengarah SPRM Sarawak, Dato Badrul Shah Norman juga hadir.

    SPRM yakin menerusi program seperti ini rakyat segenap lapisan masyarakat akan memahami peranan dan fungsi SPRM dalam melaksanakan usaha pencegahan rasuah dan meningkatkan budaya berintegriti tinggi.

    Kajian persepsi di kalangan orang ramai menunjukkan ahli-ahli politik terlibat dalam rasuah. Justeru, diharap parti politik dan ahli-ahli politik akan memainkan peranan yang berkesan bagi membetulkan persepsi sedemikian, sekali gus menjauhi jenayah rasuah.

    SPRM berharap kesedaran yang diharapkan itu akan terus meningkat dengan parti-parti politik menyahut seruan dan menyokong usaha SPRM. Ini dapat dilihat menerusi pendekatan menerima Kenyataan Komitmen Bersama SPRM kebelakangan ini.

    Pendirian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sendiri bersama barisan Kabinet Negeri dan anggota BNBBC Negeri Sarawak menandatangani Ikrar Integriti pada tahun 2015 memperlihatkan Kerajaan Negeri Sarawak sebagai negeri yang pertama menerima dan menandatangani Ikrar Integriti di semua peringkat termasuk syarikat-syarikat utama industri pembalakan.

    Ikrar itu telah diterjemahkan dalam bentuk perancangan dan pelan tindakan pencegahan rasuah yang lebih berkesan. Ketua Menteri Sarawak juga telah memperlihatkan komitmen yang amat efektif sehingga membawa kepada pelaksanaan sejumlah inisiatif di Sarawak.

    Komitmen Ketua Menteri Tan Sri Adenan juga telah membantu SPRM dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan masyarakat dengan berkesan.

    Secara tidak langsung komitmen Kerajaan Negeri Sarawak dan keberkesanan SPRM juga telah membantu dalam meningkatkan hasil kepada kerajaan, khususnya memerangi pembalakan haram. Ops Gergaji yang telah dilaksanakan pada tahun 2015 adalah satu contoh di mana aktiviti pembalakan haram dapat ditangani dengan baik, sekali gus meningkatkan pendapatan kerajaan. Ops Tukul yang dikendalikan oleh SPRM Sarawak pada tahun 2014 bukan sahaja berjaya menangani aktiviti pembalakan haram, malah dapat menyelamatkan ketirisan dianggarkan RM100 juta.

    SPRM menghargai usaha transformasi pencegahan rasuah dan sistem peryampaian perkhidmatan awam berlandaskan amalan urus tadbir yang baik yang dilakukan oleh Ketua Menteri Sarawak dan Setiausaha Kerajaan Negeri kebelakangan ini.

    Justeru, SPRM juga berharap komitmen yang diperlihatkan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Sarawak akan dicontohi kerajaan-kerajaan negeri yang lain bagi meningkatkan keberkesanan usaha pencegahan rasuah yang bersistematik dan berterusan.

     

    DATO’ SRI HAJI MUSTAFAR ALI

    TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (PENCEGAHAN)

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    22 FEBRUARI 2016

    SPRM Anjur Majlis Penerangan Bersama ‘Key Communicator’, Hargai Usaha Diambil Ketua Menteri Sarawak Perangi Rasuah  PDF
  • SPRM Bongkar Sindiket Seleweng Dana Kerajaan Lebih RM100 Juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya membongkar satu sindiket yang menyeleweng dana Kerajaan Persekutuan membabitkan sebuah kementerian, yang menyebabkan kerajaan kerugian lebih kurang RM100 juta.

    Sindiket itu dibongkar dalam satu operasi khas yang diadakan oleh Ibu Pejabat SPRM pada 17 Mac 2016.

    Setakat ini, sembilan orang telah ditangkap. Mereka terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita. Salah seorang yang ditangkap merupakan pegawai kanan kementerian berkenaan, berjawatan  Setiausaha Bahagian. Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula 18 Mac 2016 bagi membantu siasatan.

    Siasatan SPRM menunjukkan sindiket ini menggunakan modus operandi mengarahkan pihak kewangan sebuah agensi di bawah kementerian terbabit membuat bayaran kepada tidak kurang dari 14 syarikat yang dikendalikan oleh ahli-ahli sindiket ini bagi program-program yang diwujudkan walhal kerja-kerja dimaksudkan tidak pernah dilaksanakan. Tiada sebarang tuntutan dikemukakan oleh syarikat-syarikat itu kepada agensi berkenaan tetapi pegawai kanan berkenaan memainkan peranan bagia memastikan  bayaran dibuat kepada syarikat-syarikat terbabit.

    Kemudian, dalam peratusan tertentu, pegawai kanan berkenaan menerima imbuhan daripada pihak syarikat dan ada di antaranya dibayar melalui cek ke akaun peribadi pegawai kanan.

    Hasil siasatan setakat ini menunjukkan kegiatan sindiket ini telah berlaku sejak tahun 2010. SPRM tidak menolak kemungkinan ia telah berlaku beberapa tahun sebelum itu. Justeru, siasatan akan terus dijalankan.

    Siasatan setakat ini menunjukkan wang kerajaan yang telah diselewengkan sekurang-kurang RM100 juta dalam tempoh berkenaan.

    Selain itu, pegawai kanan terbabit menerima habuan-habuan daripada pihak kontraktor antaranya rumah, kereta-kereta mewah, pembayaran insurans dan unit amanah bernilai jutaan ringgit, penggunaan kemudahan kad kredit supplementari, pengubahsuaian rumah.

    Pegawai kanan terbabit dipercayai hidup mewah sehingga mampu membeli jam-jam tangan berjenama, yang satu daripadanya mencecah harga tidak kurang dari RM400,000, barang-barang kemas yang banyak dan ada yang bernilai tidak kurang RM600,000, ‘beddings’ bernilai lebih RM300,000, foto hiasan bernilai lebih RM60,000 dan beg-beg tangan berjenama dan ada yang berharga RM400,000.

    Dianggarkan beliau menerima suapan mencecah keseluruhan RM20 juta selain kerap ke luar negara bersama anggota keluarga hingga mampu menggunakan penerbangan ‘First Class’ setiap seorang.

    Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan juga Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiyaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

    SPRM telah membekukan sejumlah 69 akaun bernilai RM8.33 juta dan harta lain seperti rumah serta menyita kenderaan-kenderaan mewah.

    SPRM akan memanggil saksi-saksi terutamanya dari kementerian terbabit bagi membantu siasatan.

    Selain itu, SPRM juga akan melihat sistem dan prosedur perolehan kementerian yangmenyebabkan  berlakunya ketirisan dana sehingga menyebabkan kerugian kepada pihak kerajaan.

    Pada 14 Mac 2016, SPRM Kuala Lumpur juga telah mengadakan Ops Tiris sehingga membawa kepada penahanan empat orang termasuk seorang pegawai kanan kerajaan dan bekas pesara.

    Seorang lagi telah didakwa pada 17 Mac 2016.

     

    DATO’ AZAM BAKI

    PENGARAH SIASATAN

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    19 MAC 2016

     

    SPRM Bongkar Sindiket Seleweng Dana Kerajaan Lebih RM100 Juta  PDF
  • SPRM-NRE Jalin Kerjasama Tingkat Budaya Integriti Dan Tangani Isu Rasuah

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah mengadakan perbincangan meja bulat bagi menjalin kerjasama dua hala demi

    memperkukuhkan usaha meningkatkan budaya berintegriti dan menangani isu rasuah secara menyeluruh.

     

    Sesi perbincangan yang berlangsung di Putrajaya hari ini, dipengerusikan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

     

    Turut hadir Timbalan Menterinya, Datuk Ir. Hamim Samuri; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Sri Mustafar Ali; Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Dato' Yusoff

    Akope serta Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Dato Shamsun Baharin Mohd Jamil.

     

    Pada perbincangan hari ini, NRE dan SPRM mencapai persetujuan untuk mengadakan perbincangan seumpama itu dari semasa ke semasa bagi mengukuhkan lagi jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak.

    Dato' Sri Wan Junaidi berkata, amat penting bagi memupuk budaya integriti di kalangan setiap pegawai dan kakitangan NRE supaya dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

     

    Hasil perbincangan itu juga, NRE turut telah menunjukkan sokongan terhadap Ikrar Integriti Korporat (CIP) dan akan mengambil langkah-langkah untuk menandatangani CIP dalam masa terdekat.

    Dato' Sri Wan Junaidi juga mencadangkan supaya SPRM dijemput ke program yang diusahakan oleh NRE bagi membantu kementerian tersebut dalam mempertingkatkan budaya integriti dalam tatacara kerja.

     

    “Ia juga penting kerana NRE ingin mengubah persepsi negatif masyararakat terhadap kementerian selain mendidik masyarakat berhubung undang-undang dan prosedur NRE,” kata beliau.

     

    Beliau berkata, undang-undang dan prosedur perlu dilihat semula dan diperkemaskan supaya ia sejajar dengan keperluan masa kini kerana masyarakat amat prihatin dengan perkembangan semasa.

    Dalam pada itu, Dato' Sri Mustafar menyambut baik usaha NRE dalam mengukuhkan kerjasama bersama SPRM dan hasrat untuk menandatangani CIP sebagai usaha menyemai budaya integriti di kalangan

    pegawai NRE.

     

    Beliau berharap dengan wujudnya jalinan ini, SPRM bersama NRE dapat bekerjasama dalam menangani masalah-masalah berkaitan dengan alam sekitar dengan lebih proaktif.

     

    “Selain itu, saya juga yakin, dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pihak NRE untuk menandatangani CIP akan mewujudkan persekitaran bebas rasuah dan budaya berintegriti tinggi," ujar beliau.

    NRE merupakan salah satu kementerian yang telah mewujudkan unit integriti yang diketuai oleh pegawai dari SPRM.

     

    Dikeluarkan bersama oleh

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA dan

    KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

    4 APRIL 2016

    SPRM-NRE Jalin Kerjasama Tingkat Budaya Integriti Dan Tangani Isu Rasuah  PDF
  • SPRM, Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar Anjur Bengkel Tangani Rasuah Alam Sekitar

    AKADEMI Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) bersama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah mengadakan bengkel menangani rasuah dalam jenayah alam sekitar di bawah tajaan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), semalam.

     

    Antara perkara penting yang dibentangkan dalam bengkel berkenaan ialah cara menyelesai, mencegah dan mendakwa kes-kes berhubung jenayah alam sekitar menggunakan teknik antirasuah.

    Pegawai UNODC (Penyelaras Global untuk Membanteras Jenayah Hidupan Liar dan Perhutanan), Giovanni Broussard berkata, Malaysia telah mengambil langkah-langkah untuk menangani isu rasuah dengan mewujudkan Unit Integriti di semua kementerian termasuk NRE.

     

    Beliau berkata, Malaysia mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi pemain utama dalam memerangi jenayah alam sekitar.

     

    Broussard juga berkata, perlu wujud kerjasama padu di antara agensi-agensi kerajaan khususnya NRE, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bagi menangani isu ini daripada terus berleluasa.

     

    “Satu strategi yang sistematik amat penting dalam membendung isu ini supaya pesalah laku tidak kira dari agensi kerajaaan atau pihak luar takut untuk terlibat dalam jenayah ini,” ujar beliau selepas menyelaras bengkel tersebut.

     

    Selain itu, beliau juga meminta agensi-agensi penguat kuasa dan kerajaan supaya tidak memandang remeh isu jenayah alam sekitar dan sumber asli.

     

    Menerusi bengkel ini, beliau berharap semua perbincangan dan pandangan yang dikongsi akan dipraktikkan sebagai satu sistem pada masa akan datang.

     

    Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, bagi menangani isu ini, amat penting bagi pegawai-pegawai yang terlibat untuk menghadiri kursus-kursus yang berhubung kait di peringkat antarabangsa.

     

    Beliau berkata, dalam menangani rasuah di sektor alam sekitar, beberapa proses perlu dilihat khususnya mengenal pasti punca-punca, mengambil tindakan, pencegahan, penyiasatan, pendakwaan dan hukuman.

     

    Beliau juga menekankan bahawa secara umumnya orang ramai tidak mempunyai pengetahuan mengenai undang-undang alam sekitar.

     

    “Kesan buruk jenayah alam sekitar tidak dapat dilihat oleh orang ramai sehingga berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini dan perlakuan rasuah,” ujar beliau.

     

    Lebih 30 pegawai dari pelbagai jabatan di bawah NRE, PDRM, SPRM, KDRM dan UNODC telah mengambil bahagian dalam bengkel ini.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    6 APRIL 2016

    SPRM, Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar Anjur Bengkel Tangani Rasuah Alam Sekitar  PDF
TOP

Visitor Statistic


Today
808
Yesterday
2206
Week
19648
Month
74969

All
2994771