• Isu SRC International Dan RM2.6 Bilion: Panel Penilaian Operasi Nasihati SPRM Supaya Ambil Tindakan Lanjut

    Isu SRC International Dan RM2.6 Bilion: Panel Penilaian Operasi Nasihati SPRM Supaya Ambil Tindakan Lanjut

     

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dinasihati oleh Panel Penilaian Operasi (PPO), yang mengadakan mesyuarat panel yang ke-29 pagi ini, berhubung perkara-perkara yang telah dibawa untuk pertimbangan Panel.

    Antara lain, PPO telah menasihati SPRM berhubung kes membabitkan SRC International dan dakwaan wang derma RM2.6 bilion. SPRM telah diminta oleh PPO supaya mengeluarkan satu kenyataan umum berhubung kedua-dua perkara terbabit.

    PPO bersetuju bahawa SPRM perlu mengemukakan kembali kertas siasatan berhubung SRC International kepada Peguam Negara untuk pertimbangan.

    Memandangkan siasatan SPRM berhubung dakwaan wang derma RM2.6 bilion masih belum lengkap, Panel telah mengesyorkan agar SPRM meneruskan siasatannya dan memohon Peguam Negara agar mengeluarkan kebenaran Bantuan Undang-undang Bersama (MLA) bagi SPRM memperoleh bukti dan dokumen-dokumen daripada institusi kewangan di luar negara sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas isu RM2.6 bilion.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    KUALA LUMPUR
    24 FEBRUARI 2016

    Isu SRC International Dan Rm2.6 Bilion: Panel Penilaian Operasi Nasihati SPRM Supaya Ambil Tindakan Lanjut PDF
  • Kes SRC International Dan Dana RM2.6 Bilion: SPRM Akan Respons Arahan Peguam Negara Dalam Waktu Terdekat

    Kes SRC International Dan Dana RM2.6 Bilion: SPRM Akan Respons Arahan Peguam Negara Dalam Waktu Terdekat

     

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima kembali kertas siasatan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion daripada Jabatan Peguam Negara hari ini.

    SPRM mengambil maklum arahan daripada Jabatan Peguam Negara yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang telah dikemukakan oleh SPRM sebelum ini. Respons SPRM kepada permintaan Jabatan Peguam Negara akan dikemukakan dalam waktu terdekat.

    Sementara itu, SPRM ingin menjelaskan bahawa laporan portal berita Sarawak Report hari ini, yang mengatakan kononnya terdapat 37 syor dakwaan berasingan telah dikemukakan oleh SPRM terhadap YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan kes SRC International, adalah tidak benar.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    18 JANUARI 2016

    KES-SRC-INTERNATIONAL-DAN-DANA-R-2.6-BILION-SPRM-AKAN-RESPONS-ARAHAN-PEGUAM-NEGARA-DALAM-WAKTU-TERDEKAT.pdf pdf
  • Permintaan Oriental Daily Untuk Menemu Bual Ketua Pesuruhjaya Y.Bhg Tan Sri Abu Kassim Mohamed

    Permintaan Oriental Daily Untuk Menemu Bual Ketua Pesuruhjaya Y.Bhg Tan Sri Abu Kassim Mohamed

    JAWAPAN KEPADA SOALAN:

    1. Bulan Ogos tahun ini, kita dapat tahu Tan Sri telah ambil cuti untuk buat satu pembedahan, lepas itu telah timbul banyak spekulasi. Saya ingin bertanya Tan Sri, apakah pembedahan yang telah dijalani?

    Saya telah menjalani satu pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan di bahagian saraf tunjang. Pembedahan ini terpaksa dijalankan dengan segera atas nasihat doktor selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Walaupun saya telah meminta ia ditangguhkan tetapi pakar perubatan kata tidak boleh, dan perlu dijalankan dengan segera. Sebab itu, pada 7 Ogos lalu, pembedahan dijalankan. Secara kebetulan ketika itu, SPRM sedang menjalankan siasatan berhubung kes SRC International dan isu dana RM2.6 bilion, dan ada isu politik seperti rombakan Kabinet dan sebagainya. Susulan pembedahan itu, saya telah diminta supaya berehat cuti sakit selama dua bulan, di mana saya kembali bertugas pada pertengahan bukan Oktober. Saya masih dalam pemantauan doktor.

    2. Adakah doktor telah memberi cadangan buat pembedahan ini sejak awal lagi, tapi Tan Sri tangguh sampai Ogos baru jalani pembedahan ini? Apakah sebab Tan Sri sanggup menangguhkan dan pilih buat pembedahan ini sebab tak boleh tangguhkan lagi?

    Memang ada perancangan untuk membuat pembedahan awal tetapi disebabkan faktor kerja dan tugas, saya terpaksa menangguhkan buat sementara dengan mengambil ubat penahan sakit, bagi membolehkan saya memberi tumpuan kepada kes-kes yang sedang disiasat ini. Ketika perbincangan selepas Hari Raya Aidilfitri, semasa perbincangan Task Force, saya ada memaklumkan Tan Sri Gani Patail (Peguam Negara ketika itu) dan Tan Sri Zeti (Gabenor Bank Negara) bahawa saya akan pergi untuk menjalani pembedahan dalam dua minggu lagi. Apabila sakit semakin teruk, atas nasihat pakar, saya terpaksa menjalani pembedahan pada bulan Ogos.

    3. Sebelum dan selepas pembedahan ini, adakah ia memberi hikmah atau memberi inspirasi kepada cara kehidupan dan pemikiran Tan Sri?

    Sudah tentu satu-satu kejadian atau perkembangan akan memberi hikmah kepada kehidupan kita. Ia akan memberi panduan berkenaan gaya hidup, makanan dan sebagainya. Ini perkara biasa dalam kehidupan kita. Kita pun ada membaca bagaimana pembedahan atau rawatan kesihatan akan memberi panduan kepada pergerakan seharian selepas itu.

    4. Pada 4 Januari 2010, Tan Sri telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Apa yang Tan Sri rasakan tentang perjalanan dalam tempoh lima tahun ini?

    Saya telah melakukan yang terbaik bagi SPRM. Saya berkhidmat dalam bidang ini, sebagai pegawai penyiasat pencegahan rasuah sejak lebih 30 tahun. Dengan berbekalkan kepada pengalaman dan pengetahuan ini, dan apabila saya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya telah cuba melakukan yang terbaik dengan sokongan pegawai-pegawai saya dan semua pihak yang lain, dalam memimpin SPRM.

    Saya gembira kerana telah berjaya membawa pembaharuan-pembaharuan dalam organisasi ini menerusi program transformasi. Susulan pembentukan SPRM bagi menggantikan BPR, kita telah melaksanakan lebih 30 inisiatif di bawah program transformasi sejak tahun 2011.

    Kita mendapati kadar sabitan telah meningkat daripada 54 peratus pada tahun 2009, kepada sekitar 80 peratus pada masa sekarang. Kadar keyakinan masyarakat juga telah meningkat dua kali ganda berbanding hanya sekitar 30 peratus pada tahun 2009. Bilangan kes yang dapat selesai disiasat pada tahun yang sama (dalam tempoh 12 bulan) pada masa sekarang telah mencapai 85 peratus. Saya nampak ada peningkatan dan kemajuan yang memuaskan. Tetapi, kita perlu terus berusaha untuk menjadikan SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah terbaik di dunia. Badan dunia seperti UNODC (United Nations Office on Drugs and Crime), pada tahun 2013, telah mengiktiraf 23 kejayaan dan amalan baik Malaysia dan SPRM dalam pencegahan rasuah. Malaysia dan SPRM satu-satunya negara yang mempunyai jumlah kejayaan dan amalan baik yang banyak hasil dinilai oleh UNODC. Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) kami juga diiktiraf oleh UNDOC sebagai pusat latihan bertaraf antarabangsa.

    5. Dalam tempoh ini, Tan Sri rasa, apa cabaran yang paling getir dihadapi semasa memimpin SPRM? Adakah persepsi umum terhadap SPRM juga adalah satu cabaran yang amat besar?

    Sudah pasti persepsi adalah satu cabaran yang paling besar. Kita seringkali berhadapan dengan cabaran yang dikenali sebagai "persepsi". Saya rasa bukan SPRM sahaja, tetapi mana-mana agensi penguatkuasaan pun berhadapan dengan cabaran ini. Kita perlu bezakan antara persepsi dan realiti. SPRM melakukan yang terbaik untuk mengatasi isu persepsi. SPRM akan terus meningkatkan usaha menjelaskan kepada orang ramai mengenai fungsi dan peranan SPRM. Saya mendapati apabila kami berjumpa dan menjelaskan isu-isu semasa, termasuk kepada ahli-ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan, mereka faham, dan persepsi negatif dapat dibaiki.

    Cabaran-cabaran ini akan sentiasa ada. Cabaran untuk meningkatkan tahap profesionalisme kerja, pengetahuan dan skil mengenai cara-cara kerja yang terkini, mengadakan undang-undang terkini yang sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa. Sudah pasti perkembangan semasa yang membabitkan siasatan berkaitan SRC International dan dana RM2.6 bilion satu cabaran besar, lebih-lebih lagi apa yang berlaku ke atas SPRM sejak beberapa bulan yang lalu. Apa pun ini, tugas dan tanggungjawab kami di SPRM adalah menjalankan siasatan mengikut undang-undang, khususnya Akta SPRM 2009. Jadi, saya telah menasihatkan pegawai-pegawai saya, apa pun cabaran dan persepsi, kita perlu melakukan tugas sebagai pegawai SPRM dengan adil, bebas dan profesional. Ini penting. Saya yakin semua pihak akan faham perkara ini, dan terus memberi sokongan kepada SPRM untuk menjalankan tugas kami. SPRM memerlukan sokongan dan kerjasama semua. Jika tidak, kita tidak boleh berjaya dengan berkesan dalam usaha memerangi rasuah.

    6. Berdasarkan maklumat yang kita dapat, kontrak Tan Sri hanya sampai tahun 2016. Jika kontrak disambung, keadaan kesihatan Tan Sri, adakah ia akan jadi salah satu sebab utama nak teruskan kontrak atau tidak? Jika tidak disambung kontrak, adakah Tan Sri telah ada buat rancangan selepas bersara?

    Kontrak saya bukan habis pada tahun 2016, tetapi tahun 2018 manakala tempoh bersara dari perkhidmatan pula Disember 2020. Saya akan terus memimpin SPRM sebagai Ketua Pesuruhjaya selagi saya sihat. Saya masih anggota satu pasukan bernama SPRM. Saya tidak akan berhenti atas alasan arahan atau tekanan mana-mana pihak. Saya hanya akan berhenti jika keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan. Selagi tahap kesihatan saya OK, saya akan meneruskan peranan sebagai Ketua Pesuruhjaya, saya akan terus mengetuai SPRM.

    7. Tan Sri, isu 1MDB dari dulu telah dibawa oleh pembangkang, dan tiba-tiba jadi isu yang dibincang oleh orang ramai. Lepas itu kerjaaan telah buat keputusan tubuhkan satu special task force yang terdiri dari IGP, AG, SPRM dan Bank Negara. SPRM hanya fokus dalam menyiasat SRC. Jadi, adakah Tan Sri rasa ia adalah salah satu siasatan yang mempunyai cabaran yang sangat tinggi?

    Sudah pasti satu cabaran yang besar sebab kali pertama kami menyiasat seorang perdana menteri dengan mendalam. Tetapi SPRM telah, sedang dan akan menyiasat setiap kes yang boleh disiasat di bawah Akta SPRM 2009. Kita tidak boleh siasat kes-kes yang tidak ada merit untuk disiasat di bawah Akta SPRM.

    8. Kita boleh lihat, tidak kira pembangkang, kerajaan, media, orang ramai dan pengguna sosial media juga ada pandangan yang berbeza, keputusan belum keluar. Tetapi sudah ada yang telah lompat buat kesimpulan. Adakah ini buat Tan Sri rasa "pening kepala"?

    Pening kepala? Tidak. Seperti lazimnya, SPRM akan menyiasat setiap kes yang ada merit untuk disiasat di bawah Akta SPRM 2009. Ini penting untuk difahami oleh semua pihak. SPRM hanya akan menjalankan siasatan. Sebaik siasatan selesai, kami akan mengemukakan laporan hasil siasatan kepada Pendakwa Raya iaitu Peguam Negara untuk memutuskan sama ada kes atau tidak untuk dibawa ke mahkamah. Kami akan melakukan dengan bebas, telus dan profesional. Jangan buat spekulasi atau keputusan.

    Oleh kerana persepsi seperti ini, saya setuju dengan pandangan dan syor yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM. Dalam Laporan Tahunan 2014 yang dikemukakan kepada kerajan dan Parlimen pada awal bulan ini, Jawatankuasa ini ada mengesyorkan supaya sebuah panel bebas khas dibentuk bagi meneliti syor-syor yang dibuat oleh SPRM berhubung kes-kes profil tinggi seperti SRC International, sebelum dibawa kepada Pendakwa Raya. Saya percaya tindakan ini akan membantu mengelakkan persepsi atau tanggapan negatif yang anda maksudkan ini.

    9. Apakah cabaran yang paling besar yang Tan Sri rasa, semasa bekerjasama dengan special task force ini?

    Tidak ada cabaran besar. Cuma koordinasi skop siasatan.

    10. Dalam keadaan yang mempunyai banyak andaian dan "kesimpulan" yang telah dibuat, cara yang telah diambil oleh Tan Sri untuk menyelesaikan masalah ini, yang telah "dipolitikkan" dan beri satu mesej yang jelas, siasatan ini dijalankan secara bebas?

    Sekali lagi, sebagaimana saya sebutkan tadi, SPRM menjalankan siasatan berkaitan dengan SRC International dan dana RM2.6 bilion dengan bebas, telus dan profesional, tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. SPRM juga dipantau oleh lima badan bebas. Pengurusan Tertinggi ditanya mengenai perkembangan siasatan atau isu-isu semasa berkaitan kes yang dijalankan. Kami perlu melapor kepada badan-badan bebas ini, yang kesemua ahli lebih 40 orang termasuk ahli-ahli Parlimen dari BN, DAP, PAS dan PKR. Justeru, jangan politikkan urusan siasatan SPRM. Sekali lagi, saya memberi jaminan siasatan sedang dan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional. SPRM sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah yang bebas. [Untuk makluman selain Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, empat badan bebas yang lain yang memantau perjalanan SPRM adalah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah].

    11. Apa yang kita nampak, selepas SPRM tegaskan siasatan SRC akan diteruskan, dulu ada yang mengkritik SPRM, macam telah tukar pandangan mereka, dan menyokong pendirian yang dinyatakan oleh SPRM. Tan Sri ada rasa tak, siasatan terhadap SRC telah ada mengubah sedikit imej SPRM di public eye?

    Sekarang rakyat dan orang ramai sudah faham tentang fungsi dan tugas SPRM. Ini yang penting. Apabila mereka faham skop perundangan kami, maka persepsi yang mengatakan SPRM tidak bebas, dan bersikap selektif dalam siasatan, sudah tidak wujud, atau sudah menurun. Ini penting bagi agensi penguatkuasaan seperti kami. Sebagai Ketua Pesuruhjaya saya memberi jaminan SPRM akan melakukan terbaik mengikut semangat Akta SPRM 2009. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong SPRM dalam memastikan setiap siasatan berjalan dengan lancar, bebas dan profesional. Semua ini adalah hasil program 'engagement' SPRM dengan 'stakeholder' di semua peringkat sejak tiga tahun yang lalu. SPRM juga amalkan dasar atau pendekatan Merakyatkan SPRM. Dasar ini akan diteruskan pada tahun 2016.

    Itu yang kita kata dari dulu lagi. Kerja kita ialah menjalankan siasatan sahaja. Bila SPRM kata kita bebas, bermakna kita bebas menjalankan siasatan ke atas siapa sahaja yang melakukan perbuatan rasuah.

    12. Tahun ini kita lihat banyak perkara telah berlaku ke atas SPRM, ada siasatan SRC yang jadi fokus orang ramai, ada Tan Sri telah ambil cuti untuk menjalani pembedahan dan wujud banyak spekulasi lagi, lepas itu juga berlaku ada pengawai telah diarahkan tukar ke tempat lain. Bagaimana Tan Sri sendiri lihat keadaan ini, adakah ia telah menjejaskan kaki angan yang bekerja dengan SPRM?

    Memang ada gangguan, tetapi tidak menjejaskan siasatan kami. Serba sedikit pertukaran dua pengarah, keputusan yang telah dibatalkan kemudian, ada menjejaskan semangat dan moral pegawai-pegawai SPRM. Perkara-perkara ini berlaku semasa menjalani pembedahan dan cuti sakit. Saya mengucapkan terima kasih kepada timbalan-timbalan saya yang telah membantu menguruskan perkara ini semasa ketiadaan saya. Berhubung perkara pertukaran dua pengarah ini, kes ini sepatutnya tidak berlaku.

    SPRM sebuah badan pencegahan rasuah yang bebas. Ia juga selaras dengan Konvensyen Pencegahan Rasuah PBB (UNCAC) di mana Malaysia adalah satu negara yang telah menandatangani dan menerima pakai UNCAC. Bermakna SPRM perlu bertindak dengan bebas. Selepas dua tiga bulan ini, saya mendapati keadaan sudah kembali normal, semangat pegawai-pegawai SPRM pun meningkat. Jadi, saya sendiri telah menasihatkan pegawai-pegawai saya supaya menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut, kita kena memenuhi harapan rakyat, yang diturunkan menerusi Akta SPRM 2009. Tugas SPRM adalah mencegah rasuah. Tugas mencegah rasuah bukan mudah. Cabaran tetap ada, dan kita perlu harungi cabaran ini.

    13. Adakah mereka ada beri sokongan dan suntikan yang besar kepada Tan Sri , dan bagaimana Tan Sri hantar mesej kepada mereka semua, team SPRM masih bersatu dalam menghadapi cabaran yang dihadapi?

    Ada, mereka terus beri sokongan. Semasa saya berada di hospital mereka telah adakan majlis doa selamat. Hantar SMS dan sebagainya. Baru-baru ini, kita mengadakan Konvensyen SPRM, mereka minta saya dan Dato Sri Shukri Abdull (Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi), meneruskan perjuangan memerangi rasuah sehingga hari terakhir perkhidmatan. Ini semua menunjukkan kami di SPRM bersatu hati, ada kesatuan hati. Saya juga menasihatkan pegawai-pegawai teruskan kesatuan dan semangat berpasukan ini walau apa pun cabaran dilalui dan dihadapi. Kedudukan SPRM sebagai sebuah badan bebas perlu dipertahankan demi negara dan rakyat.

    14. Adakah Tan Sri rasa ini, adalah cabaran yang paling besar terhadap SPRM?

    Yeah, saya setuju. Perkembangan semasa ini adalah cabaran paling getir dalam sejarah SPRM dan BPR, dalam tempoh 48 tahun sejak agensi pencegahan rasuah di Malaysia dibentuk.

    15. SPRM selalu dituduh hanya siasat ikan kecil, tapi mereka nampak SRC ini adalah ikan besar, bagaimana SPRM boleh beri keyakinan kepada orang ramai, SPRM bukan hanya kali ini tangkap ikan besar sahaja?

    SPRM siasat setiap kes rasuah. Tidak kira ikan kecil atau ikan besar (jerung). Undang-undang kata SPRM perlu siasat kes-kes rasuah. Tidak kira siapa mereka, kedudukan orang yang disiasat. Sekarang kita siasat kes SRC International. Kita pernah siasat orang awam, pernah siasat ketua menteri dan menteri besar, menteri dan sebagainya. Apa yang penting SPRM menjalankan siasatan dengan bebas, profesional tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Jika ada bukti dan asas untuk dicaj, kita bawa ke mahkamah.

    16. Ada apa mesej yang Tan Sri ingin sampaikan kepada orang ramai?

    SPRM akan cuba menyelesaikan siasatan kedua-dua kes yang penting, yang sedang dijalankan sekarang ini, sebelum akhir tahun ini. Kami akan menghantar kepada Peguam Negara laporan hasil siasatan apabila selesai siasatan kelak. Ini tanggungjawab besar kami. SPRM hendak memaklumkan bahawa siasatan akan dikendalikan dengan bebas, telus dan profesional.

    SPRM hanya sebuah agensi pencegahan rasuah, yang menjalankan tugas mengikut undang-undang. Saya selalu katakan kepada mereka yang mengkritik, jangan 'tembak' kami sebagai agensi pencegahan rasuah, sebaliknya 'tembak' mereka yang terlibat dalam jenayah rasuah. Kesan buruk rasuah adalah ke atas rakyat dan negara.

    Sebagai agensi penguatkuasaan, kami hanya boleh siasat mengikut skop undang-undang yang ada. Kita tidak boleh melanggar undang-undang dengan menyiasat perkara-perkara yang tidak boleh. Oleh itu, saya minta ahli-ahli politik dan mereka yang merasakan ada kekurangan dari segi perundangan supaya bawa syor pindaan undang-undang ke Parlimen. Badan-badan bebas yang memantau SPRM pun ada mengemukakan banyak syor, termasuk pindaan Seksyen 23 dan 36, pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah, dan soal pelantikan Ketua Pesuruhjaya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    23 DISEMBER 2015

     

    Permintaan Oriental Daily Untuk Menemu Bual Ketua Pesuruhjaya Y.Bhg Tan Sri Abu Kassim Mohamed   
TOP

Visitor Statistic


Today
50
Yesterday
432
Week
1048
Month
4827

All
3210060