• 44 Kontraktor DBKL Tandatangani CIP

    SERAMAI 44 kontraktor di bawah seliaan Jabatan Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Bangunan (JPPPB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP), hari ini.

    Majlis menandatangani CIP yang berlangsung di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tersebutdisaksikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Azizi, Timbalan Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Sri Mustafar Ali, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya, Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Dato' Mohd Najib Mohd, Pengarah Eksekutif  Pengurusan Projek) DBKL, Datuk Syed Afeendy Ali Syed Abid Ali dan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio-Ekonomi) DBKL, Datuk Mohd Sauffi Muhamad.

    Kontraktor yang menandatangani CIP berkenaan merupakan kontraktor kelas G3 (Kelas E) yang telah diberikan kontrak bernilai RM48 juta oleh DBKL untuk kerja-kerja penyelenggaraan di sekitar Kuala Lumpur bagi tempoh dua tahun akan datang.

    Mhd Amin dalam ucapannya berkata, beliau berharap dengan menandatangani CIP, tidak lagi wujud isu kewangan kerajaan disalahgunakan oleh kontraktor-kontraktor seperti sebelum ini.

    Beliau berharap semua kontraktor yang diberikan tanggungjawab besar ini akan mematuhi segala perjanjian yang telah ditandatangani ketika menerima kontrak-kontrak tersebut.

    “Ia amat penting bagi semua kontraktor untuk memberikan hasil berkualiti setimpal dengan bayaran yang diberikan kepada mereka,” ujar beliau.

    Justeru itu, Mustafar berkata, kontaktor-kontraktor perlu mengukuhkan sistem kawalan dalaman dengan mematuhi undang-undang, polisi, prosedur yang berkaitan dengan antirasuah di kalangan warga kerja syarikat mereka.

    “Saya berharap dengan jalinan kerjasama bersama DBKL melalui tandatangan CIP ini dapat bersama-sama mempromosikan integriti, ketelusan dan tadbir urus korporat yang baik di kalangan kontraktor,” ujar beliau.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    28 APRIL 2016

    44 Kontraktor DBKL Tandatangani CIP  PDF
  • Abd. Aziz Sebagai Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Baharu

     

    Aziz Sebagai Pengarah SPRM Wilayah PersekutuanPutrajaya Baharu

    DATUK Haji Abd. Aziz Aban secara rasminya mengambil alih jawatan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini.

    Pelantikan beliau adalah untuk menggantikan Dato’ Moh Samsudin Yusoff yang dilantik sebagai Pengarah SPRM Kelantan berkuat kuasa semalam.

    Beliau ketika memberi ucapan dalam Majlis Penyerahan Tugas di Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya berkata, diharapkan pelantikannya dapat menyumbang semula amalanamalan baik yang telah dipraktikkan oleh Moh Samsudin khususnya dari segi disiplin pegawai.

    Jelasnya, pengamalan disiplin yang bagus sangat penting bagi setiap pegawai SPRM bagi memastikan mereka menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan cemerlang.

    Dalam pada itu, Moh Samsudin dalam ucapannya berkata, beliau berharap semua pegawai di SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Abd. Aziz dan melaksanakan tugas dengan baik.

    Ujar beliau, kaedah penyiasatan di Putrajaya adalah berbeza berbanding tempat lain kerana ia melibatkan banyak kes berprofil tinggi.

    Seramai enam pegawai kanan SPRM terlibat dalam penukaran jawatan di bahagian dan negeri berkuat kuasa semalam.

    Pegawai kanan lain yang terlibat dalam penukaran tersebut termasuk Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Simi Abd. Ghani yang dilantik sebagai Pengarah SPRM Johor; Dato’ Norazlan Razali sebagai Pengarah SPRM Selangor; Dato’ Azmi Alias sebagai Pengarah SPRM Melaka dan Junipah Wandi sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA).

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    16 MAC 2016

    Abd. Aziz Sebagai Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya Baharu   PDF
  • Bauksit: Dua Lagi Kakitangan PTG Dituduh Terima Rasuah

    Bauksit: Dua Lagi Kakitangan PTG Dituduh Terima Rasuah

     

    DUA kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan hari ini berhubung kesalahan menerima suapan daripada seorang pelombong bauksit haram, awal bulan ini.

    Mohd. Nurfirdaus, 28, didakwa menerima rasuah wang tunai sebanyak RM8,500 daripada Anurul Hiraq Abu Bakar, 33, sebagai balasan kerana memberi perlindungan bagi menjalankan aktiviti perlombongan bauksit secara haram dengan menjual 50 helai Borang 13D.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 6.05 petang di Lorong Bukit Ubi 26, Bukit Sekilau, Kuantan pada 6 Januari lalu.

    Sementara itu, Abdul Rahim Sulaiman, 53, pula dituduh bersubahat bersama Mohd. Nurfirdaus menerima suapan wang tunai sebanyak RM8, 500 daripada individu sama sebagai balasan kerana memberi perlindungan bagi menjalankan aktiviti perlombongan bauksit secara haram.

    Mohd. Nurfirdaus yang bertugas sebagai Pembantu Awam dan Abdul Rahim, seorang Penolong Pentadbir Tanah di jabatan berkenaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof.

    Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 28 (1) (c) yang dibaca bersama Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (a) akta yang sama.

    Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shafinas Shabudin.

    Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM4,000 setiap seorang dan menetapkan 15 Februari 2016 sebagai tarikh sebut semula kes.

    Pada 13 Januari 2016, dua kakitangan PTG Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan atas tuduhan menerima wang tunai RM30,000 daripada seorang pelombong haram bauksit.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    18 JANUARI 2016

    PR-JAN-BAUKSIT-DUA-LAGI-KAKITANGAN-PTG-DITUDUH-TERIMA-RASUAH.pdf PDF
  • Bekas Pengurus Kanan Syarikat Swasta Hadapi 115 Tuduhan Kemuka Tuntutan Palsu Bernilai RM101.6 Juta

    Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Johor Bahru hari ini terhadap 115 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM101.64 juta bagi pembelian produk resin plastik, antara Disember 2014 dan Mei 2015.

    Foo Tseh Wan, 39, didakwa mengemukakan dokumen iaitu pesanan pembelian mengandungi butir-butir matan palsu dengan niat hendak memperdaya Timbalan Pengurus Besar Toyota Tsusho (M) Sdn Bhd, Eiichi Hasegawa.

    Berdasarkan pertuduhan, Foo didakwa mengemukakan 115 pesanan pembelian kepada tiga syarikat pembekal untuk syarikat terbabit membekalkan produk resin plastik keseluruhannya bernilai RM101.64 juta, yang mana terdapat kelulusan Toyota Tsusho (M) Sdn Bhd Johor Liason Office di ruangan 'Authorized Signatory' pesanan pembelian sedangkan kelulusan tersebut tidak diberikan oleh Hasegawa.

    Tiga syarikat pembekalan tersebut adalah Mepcom Polymer Sdn Bhd, JB Advance Plastic Marketing Sdn Bhd dan Sors Polymer Sdn Bhd.

    Foo didakwa mengemukakan pesanan pembelian terbabit menerusi dua eksekutif jualan Toyota Tsusho (M) Sdn Bhd.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Unit 20.01 A, Tingkat 20 Menara MAA, Jalan Datuk Abdullah Tahir, Johor Bahru antara 19 Disember 2014 dan 7 Mei 2015.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai tuntutan palsu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noorfazlin Hamdan.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    8 MAC 2016

    Bekas Pengurus Kanan Syarikat Swasta Hadapi 115 Tuduhan Kemuka Tuntutan Palsu Bernilai RM101.6 Juta  PDF
  • Bekas Setiausaha Bahagian KBS Bersama Tiga Pemilik Syarikat Hadapi 191 Pertuduhan Penggubahan Wang Haram RM17 Juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama tiga pengarah syarikat dengan 191 pertuduhan berhubung penggubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan kira-kira RM17 Mereka dituduh di tiga mahkamah berasingan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

     

    Kesemua tertuduh Otman Arsahd, 57, Abdul Ghafar Abdurahiman; 42 dan isterinya Siti Rohanah Hussien, 42 serta Halmi Khalid, 35 mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut.

     

    Bagi pendakwaan pertama, Setiausaha Kementerian Kewangan KBS, Otman dituduh dengan 64 pertuduhan membabitkan penggubahan wang haram bernilai RM16.623 juta.

     

    Otman didakwa melakukan kesalahan membuat penggubahan wang haram dengan pemindahan transaksi wang antara RM50,000 dan RM900,000 daripada tiga pengarah syarikat ke kad kredit tertuduh antara bulan Mac 2012 dan Disember 2015.

     

    Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di empat buah bank di sekitar Kuala Lumpur. 

     

    Dalam mahkamah sama, Halmi yang merupakan pengarah syarikat pembekal barang sukan dituduh dengan satu pertuduhan.

     

    Halmi didakwa melakukan kesalahan membuat penggubahan wang haram dengan pemindahan transaksi wang bernilai RM900,000 ke deposit tunai milik Otman.

     

    Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 10 Disember 2015 di RHB Plaza Damas 3, Sri Hartamas, Kuala Lumpur. 

     

    Hakim Alaudeen Ismail menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 terhadap Otman manakala Halmi sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin dan passport kedua-dua tertuduh diarahkan untuk diserahkan kepada mahkamah. Tarikh sebutan semula kes pada 31 Mei 2016.

     

    Sementara itu dalam pendakwaan kedua, tertuduh, Ghafar yang merupakan pengarah syarikat pembekalan barang sukan dan melaksanakan program dituduh dengan 63 pertuduhan

    membabitkan penggubahan wang haram bernilai RM15.723 juta.

     

    Dia didakwa melakukan kesalahan membuat penggubahan wang haram dengan pemindahan transaksi wang antara RM50,000 dan RM900,000 ke kad kredit Otman antara bulan Mac 2012

    dan Disember 2015 di empat buah bank sekitar Kuala Lumpur.

     

    Hakim Mohd Nasir Nordin menetapkan jaminan sebanyak RM 70,000 dengan seorang penjamin dan passport tertuduh diarahkan untuk diserahkan kepada mahkamah. Tarikh sebutan semula kes

    pada 24 Mei 2016.

     

    Dalam pendakwaan ketiga, Siti Rohanah yang merupakan isteri kepada Ghafar turut dituduhdengan 63 pertuduhan membabitkan penggubahan wang haram yang bernilai RM15.723 juta.

    Kesemua kesalahan yang didakwa adalah sama seperti Abdul Ghafar kerana Siti Rohanah merupakan pengarah bersama bagi syarikat yang membuat pembekalan dan melaksanakan

    program di KBS.

     

    Hakim Sohaini Alias menetapkan jaminan sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin dan passport tertuduh diarahkan untuk diserahkan kepada mahkamah. Tarikh sebutan semula kes

    ditetapkan pada 24 Mei 2016.

     

    Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang mana di bawah

    Seksyen 4(1)(a) AMLATFA 2001 boleh membawa hukuman penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali manakala bagi Seksyen 4(1)(b) Akta AMLATFPUAA 2001, jika

    sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda nilai harta penggubahan harta atau lima juta mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

     

    Pendakwaan kes SPRM ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dan Mohd Husmarudin Hussein.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    21 APRIL 2016

    /images/PR21APRIL-KBSRM17JUTA.pdf  PDF
  • Gerak Mesra SPRM, PBT

    CAMERON HIGHLANDS, 20 April - Satu Program Gerak Mesra iaitu gotong royong pihak berkuasa tempatan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah diadakan disini.

     

    Gotong- royong bertujuan membersihkan persekitaran kawasan Dataran Tanah Rata yang tumpuan utama pelajar dan penduduk sekitar.

     

    Seramai 100 pelajar dari Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah turut terbabit dalam program yang turut disertai oleh Alam Flora, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Majlis Daerah Cameron Highlands ini.

     

    Selain meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan kawasan sekitar yang bersih dan selamat program ini juga bertujuan mengukuhkan jalinan kerjasama diantara agensi tempatan dan SPRM.

     

    Gerak Mesra SPRM, PBT 

     

     

  • Guru Besar Hadapi Dua Tuduhan Terima Suapan RM4,400

    SEORANG guru besar sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan RM4,400 daripada seorang pengusaha kantin dua tahun lalu.

    Tertuduh, M. Subramaniam, 55, yang sebelum ini berkhidmat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rawang mengaku tidak bersalah berhubung kedua-dua pertuduhan yang dikenakan.

    Subramaniam didakwa menerima suapan berbentuk cek bernilai RM1,500 tanpa balasan daripada pengusaha kantin, K. Devega pada 30 Januari 2014, yang mempunyai tugasan rasmi dengan

    tertuduh iaitu mendapatkan surat sokongan bagi melanjutkan kontrak kantin di SJKT Rawang.

    Selain itu, Subramaniam didakwa menerima wang tunai sebanyak RM2,900 tanpa balasan daripada Devega pada 8 Oktober 2014 sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Hakim Selamat Yahya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

    Pendakwaan bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Hafezan Mat

    Kes akan disebut semula pada 16 Jun 2016.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    30 MAC 2016

    Guru Besar Hadapi Dua Tuduhan Terima Suapan RM4,400  PDF
  • Hanya Individu Didapati Bersalah Disenaraikan Dalam 'Name And Shame'

    Hanya Individu Didapati Bersalah Disenaraikan Dalam  'Name And Shame'

     

    BERHUBUNG kenyataan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang supaya meletakkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pangkalan data 'Name and Shame' Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SPRM ingin menjelaskan bahawa hanya individu yang didapati bersalah oleh mahkamah akan dimasukkan dalam senarai tersebut.

     

    Pangkalan data itu diwujudkan untuk menyenaraikan nama mereka yang telah didapati bersalah dalam kes rasuah, bukannya mereka yang sedang disiasat.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    4 JANUARI 2016

     

    Hanya Individu Didapati Bersalah Disenaraikan Dalam 'Name And Shame'   
  • Isu Bauksit: Dua Kakitangan PTG Hadapi Tiga Pertuduhan Rasuah

    Isu Bauksit: Dua Kakitangan PTG Hadapi Tiga Pertuduhan Rasuah

     

    DUA kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) termasuk seorang pegawai kanan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan, Pahang hari ini berhubung tuduhan menerima sogokan daripada orang awam sebagai balasan melindungi aktiviti perlombongan bauksit secara haram.

    Fadly Abd Malek, 35, yang merupakan Penolong Pegawai Tanah berdepan dengan dua pertuduhan manakala Syed Umar Khalil Syed Khalid, 34, Penolong Pengarah Kuat Kuasa pula berdepan dengan satu pertuduhan.

    Bagi pertuduhan pertama, Fadly dituduh menerima RM35,000 daripada Anurul Hiraq sebagai balasan tidak diambil sebarang tindakan ke atas Anurul Hiraq yang menjalankan aktiviti perlombongan bauksit secara haram dengan cara menjual Borang 13D atas nama Syarikat Aras Kuasa Sdn Bhd. 

    Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 18 November 2015 antara jam 4 dan 4.30 petang di dalam sebuah kenderaan bersebelahan Restoran Santai, Kampung Baru Peramu, Kuantan.

    Bagi pertuduhan kedua, Fadly dituduh menerima RM30,000 daripada Anurul Hiraq sebagai balasan tidak diambil tindakan ke atas Anurul Hiraq yang menjalankan aktiviti perlombongan bauksit secara haram. 

    Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 6 Januari 2016 lebih kurang 12.30 tengah hari dalam sebuah kenderaan di pekarangan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan.

    Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Sementara itu, Syed Umar dituduh bersubahat bersama Fadly menerima wang tunai RM30,000 daripada Anurul Hiraq sebagai balasan melindungi Anurul Hiraq yang menjalankan aktiviti perlombongan bauksit secara haram. Kesalahan tersebut dilakukan pada 6 Januari 2016 jam lebih kurang 7.35 petang di pekarangan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan.

    Tertuduh dituduh di bawah seksyen 28 (1)(c), yang dibaca bersama seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. Jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. 

    Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah.

    Pendakwaan bagi pihak SPRM dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shahbudin.

    Hakim Habibah Mohamed Yusof membenarkan Syed Umar dan Fadly masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes ini akan disebut semula pada 5 Februari 2016.

     

    Kedua-dua yang dituduh hari ini adalah sebahagian daripada mereka yang ditahan dan direman oleh SPRM pada 6 Januari 2016.

    Seorang lagi yang turut ditahan reman pada 6 Januari 2016 disambung tahanan reman selama lima hari mulai hari ini.

     

    Sehingga kini, SPRM telah menahan reman sembilan orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan PTG serta orang awam. Kesemua mereka ditahan reman antara enam hingga 12 hari.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    13 JANUAR1 2015

    /images/ISU-BAUKSIT-DUA-KAKITANGAN-PTG-HADAPI-TIGA-PERTUDUHAN-RASUAH.pdf pdf
  • Isu Bauksit: Empat Ditahan Reman Bagi Membantu Siasatan SPRM

    Isu Bauksit: Empat Ditahan Reman Bagi Membantu Siasatan SPRM

     

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memperoleh perintah tahanan reman ke atas empat individu bagi membantu siasatan berhubung pemalsuan dokumen yang dipercayai ada kaitan dengan perlombongan bauksit secara haram di Pahang.

    Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya.

    Majistret Eric Lau membenarkan mereka ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

    Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang bekas pegawai kanan Jabatan Mineral dan Geosains Pahang, yang kini merupakan ahli perniagaan berpangkat Datuk.

    Turut ditahan reman pegawai kanan Jabatan Mineral dan Geosains Pahang, wakil syarikat perlombongan dan seorang pekerja syarikat perlombongan.

    Kesemua mereka yang ditahan reman berumur antara 30-an dan 50-an.

    Tiga antara mereka ditahan di Pahang manakala seorang lagi di Putrajaya.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    21 JANUARI 2016

    Isu Bauksit: Empat Ditahan Reman Bagi Membantu Siasatan SPRM PDF
  • Isu Bauksit: Penolong Pengurus Direman Bantu Siasatan SPRM

    Isu Bauksit: Penolong Pengurus Direman Bantu Siasatan SPRM

     

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memperoleh perintah tahanan reman terhadap seorang penolong pengurus perlombongan anak syarikat kerajaan negeri Pahang bagi membantu siasatan berkaitan rasuah dalam isu perlombongan bauksit.

    Lelaki berumur 47 itu ditahan kira-kira pukul 8 malam tadi, 26 Januari 2016, di Pejabat SPRM Pahang di Kuantan.

    Mahkamah Majistret Kuantan membenarkan suspek ditahan reman selama lima hari bermula hari ini.

    SPRM menjalankan siasatan ke atas individu itu mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Sehingga hari ini, SPRM telah menahan reman seramai 14 individu dan mendakwa empat daripada mereka berhubung kesalahan rasuah.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    27 JANUARI 2016

    Isu Bauksit: Penolong Pengurus Direman Bantu Siasatan SPRM PDF
  • Isu bauksit: SPRM Tahan Tiga Lagi Individu

    Isu bauksit: SPRM Tahan Tiga Lagi Individu

     

    Susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani isu perlombongan bauksit tidak terkawal dan ketirisan hasil kerajaan di Pahang, SPRM telah menahan tiga lagi individu termasuk seorang wanita, yang dipercayai terlibat dalam pembayaran wang rasuah bagi melindungi pelombongan bauksit secara haram.

     

    Mereka ditahan semalam, 8 Januari 2016.

     

    Ketiga-tiga individu terbabit ditahan secara berasingan di sekitar Kuantan antara pukul 4 petang hingga 11.55 malam.

     

    Kesemua mereka yang berusia antara 44 dan 50 tahun itu merupakan orang awam. Mereka dipercayai berperanan sebagai orang tengah dalam aktiviti penjualan dokumen pemindahan bijih mineral atau Borang 13D secara haram kepada pelombong-pelombong tidak berlesen.

     

    Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

     

    SPRM masih giat menjalankan siasatan bagi mengesan mereka yang terbabit dalam jenayah rasuah sehingga menyebabkan berlakunya kegiatan perlombongan haram dan ketirisan yang dianggarkan bernilai RM187 juta dari segi hasil kutipan royalti tahun lalu.

     

    SPRM turut menyeru orang ramai agar memberi maklumat kepada SPRM berhubung individu yang terlibat memberi serta menerima rasuah dalam isu perlombongan bauksit secara haram.

     

    DATO' AZAM BAKI

    PENGARAH SIASATAN

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    9 JANUARI 2016

     

    /images/ISU-BAUKSIT-SPRM-TAHAN-TIGA-LAGI-INDIVIDU.pdf pdf
  • Isu SRC International Dan RM2.6 Bilion: Panel Penilaian Operasi Nasihati SPRM Supaya Ambil Tindakan Lanjut

    Isu SRC International Dan RM2.6 Bilion: Panel Penilaian Operasi Nasihati SPRM Supaya Ambil Tindakan Lanjut

     

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dinasihati oleh Panel Penilaian Operasi (PPO), yang mengadakan mesyuarat panel yang ke-29 pagi ini, berhubung perkara-perkara yang telah dibawa untuk pertimbangan Panel.

    Antara lain, PPO telah menasihati SPRM berhubung kes membabitkan SRC International dan dakwaan wang derma RM2.6 bilion. SPRM telah diminta oleh PPO supaya mengeluarkan satu kenyataan umum berhubung kedua-dua perkara terbabit.

    PPO bersetuju bahawa SPRM perlu mengemukakan kembali kertas siasatan berhubung SRC International kepada Peguam Negara untuk pertimbangan.

    Memandangkan siasatan SPRM berhubung dakwaan wang derma RM2.6 bilion masih belum lengkap, Panel telah mengesyorkan agar SPRM meneruskan siasatannya dan memohon Peguam Negara agar mengeluarkan kebenaran Bantuan Undang-undang Bersama (MLA) bagi SPRM memperoleh bukti dan dokumen-dokumen daripada institusi kewangan di luar negara sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas isu RM2.6 bilion.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    KUALA LUMPUR
    24 FEBRUARI 2016

    Isu SRC International Dan Rm2.6 Bilion: Panel Penilaian Operasi Nasihati SPRM Supaya Ambil Tindakan Lanjut PDF
  • JKMR Saran Agar Debat Terbuka Isu Taman Manggis Dibatal

    JAWATANKUASA Khas Mengenai Rasuah (JKMR), badan yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengikuti dengan terperinci rancangan perdebatan mengenai isu tanah Taman Manggis antara Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng.

     

    Mengambil kira perkembangan semasa, selaku Pengerusi JKMR saya berharap semoga kesemua pihak yang terbabit, agar mempertimbangkan semula idea perdebatan tersebut.

     

    Saya menyarankan rancangan tersebut elok dielakkan. JKMR berpandangan bahawa memandangkan SPRM sedang menjalankan siasatan, sangatlah wajar supaya penganjuran perdebatan tersebut dibatalkan.

     

    JKMR bimbang sekiranya debat tersebut diteruskan, ia akan menjejaskan siasatan

    yang sedang dijalankan oleh SPRM sekarang.

     

    Kita perlu menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan sepenuhnya. Semua pihak yang terlibat, saya sarankan supaya memberi kerjasama yang sewajarnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

     

    Jika mana-mana pihak mempunyai fakta, dokumen-dokumen atau sebarang bukti dan saksi berkaitan isu tanah Taman Manggis ataupun banglo yang dibeli oleh YAB Guan Eng, wajar mengemukakan kepada SPRM daripada mengadakan debat secara terbuka.

     

    YB SENATOR TAN SRI ABU ZAHAR UJANG

    PENGERUSI

    JAWATANKUASA KHAS MENGENAI RASUAH

    10 APRIL 2016

     JKMR Saran Agar Debat Terbuka Isu Taman Manggis Dibatal PDF
  • JKR Sabah Tandatangan Komitmen Perangi Rasuah, Agensi Pertama Pada Tahun 2016

    JKR Sabah Tandatangan Komitmen Perangi Rasuah, Agensi Pertama Pada Tahun 2016

     

    JABATAN Kerja Raya (JKR) Sabah menzahirkan komitmen memerangi rasuah dengan menandatangani Sokongan Komitmen Anti Rasuah pada 15 Januari 2016.

    Dengan perkembangan ini, JKR muncul agensi pertama menyahut usaha dan inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada tahun 2016.

    Seramai 72 orang pegawai kanan JKR Sabah yang terdiri daripada timbalan-timbalan pengarah kerja raya Sabah, ketua-ketua penolong pengarah, jurutera-jurutera bahagian, ketua-ketua penguasa projek serta jurutera-jurutera daerah telah menzahirkan sokongan untuk mencegah jenayah rasuah dengan melafazkan ikrar di bawah pimpinan Timbalan Pengarah Kerja Raya Sabah, Yahiya Ag Kahar.

    JKR Sabah merupakan agensi keempat selepas Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Komputer Negeri Sabah dan Kementerian Sumber Manusia dan Teknologi Negeri Sabah menandantangani Sokongan Komitmen Anti Rasuah setakat ini.

    Majlis Ikrar Anti Rasuah dan Menandatangani Sokongan Komitmen Anti Rasuah yang berlangsung di Papar ini diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Panglima Sukarti Wakiman; Pengarah Kerja Raya Sabah, Amrullah Kamal dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, Hasbilah Mohamad Salleh.

    Menurut Hasbilah, JKR Sabah merupakan agensi kerajaan terawal yang menyahut cabaran SPRM untuk bersama-sama mencegah dan membanteras rasuah bagi tahun 2016.

    “Komitmen dan inisiatif JKR Sabah perlu dicontohi oleh agensi kerajaan lain kerana gejala rasuah perlu ditangani secara holistik bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap agensi kerajaan.

    “Dengan menandatangani Sokongan Komitmen Anti Rasuah ini, SPRM berharap JKR Sabah akan menggiatkan lagi usaha memerangi rasuah dan melahirkan pegawai berintegriti pada masa akan datang," kata beliau ketika memberi ucapan pada majlis tersebut.

    Sempena majlis ini, sesi dialog, soal jawab dan taklimat bagi menjelaskan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi meningkatkan kesedaran mengenai jenayah rasuah turut diadakan.

    Sementara itu, Amrullah ketika memberi ucapan pada majlis itu berkata, komitmen ini merupakan usaha yang penting bagi memantapkan pengurusan kualiti dan integriti jabatan, di samping meningkatkan kesedaran pegawai mengenai tanggungjawab dan tugas mereka sebagai penjawat awam.

    “Ketelusan dan kejujuran dalam setiap proses kerja memainkan peranan penting bagi memastikan kewujudan nilai akauntabiliti, dasar, peraturan dan tatacara yang jelas serta betul, termasuk penyeliaan perolehan, tender mahupun kontrak kerajaan,” kata beliau.

    Dalam pada itu, Sukarti memuji JKR Sabah kerana bersama-sama menyahut cabaran untuk membanteras rasuah selepas semua ketua Jabatan Negeri Sabah menandatangani komitmen yang sama pada 28 Mei 2015 atas inisiatif beliau.

    “Saya ingin berterima kasih kepada SPRM yang memberi bantuan secara berterusan kepada agensi kerajaan Negeri Sabah dari segi meningkatkan kesedaran penjawat awam mengenai rasuah.

    “Diharapkan penjawat-penjawat awam di negeri ini memberi keutamaan dalam soal meningkatkan amalan integriti bagi meningkatkan imej perkhidmatan awam yang lebih baik,” ujarnya.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    KOTA KINABALU, SABAH

    17 JANUARI 2016

    /images/JKR-Sabah-Tandatanga-Komitmen-Perangi-Rasuah-Agensi-Pertama-2016.pdf  PDF
  • Kakitangan‎ MPK Tandatangan Ikrar Integriti, MB Pahang Sifatkan Langkah Proaktif

    MENTERI ‎Besar Pahang, YAB Dato' Seri Adnan Yaakob bersama lebih kurang 50 pegawai kanan dan kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah melafazkan Ikrar Integriti dalam program kerjasama strategik di antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan MPK di Rumah Tamu dan Kelab Pegawai Seri Gelora, Kuantan hari ini.

     

    Dato' Seri Adnan dalam ucaptamanya berkata, inisiatif SPRM mengadakan program 'Merakyatkan SPRM' di Kuantan merupakan satu langkah proaktif yang dapat membantu usaha memerangi rasuah dengan adil dan saksama.‎

     

    "Kewujudan SPRM yang sering dilihat bersama masyarakat akan menjadikan individu yang berniat untuk melakukan jenayah rasuah akan teragak-agak, sekali gus menjauhkan diri dari rasuah," kata beliau.

     

    Menteri Besar juga meminta SPRM agar terus bekerjasama dengan semua agensi terutamanya yang terdedah kepada ruang dan peluang melakukan rasuah serta memastikan sistem dalam sesebuah agensi teratur.

     

    "Peranan SPRM tidak hanya tertakluk kepada operasi, tetapi juga dari aspek pencegahan termasuk menasihati organisasi kerajaan dan swasta dalam menangani isu rasuah," ujar beliau.

     

    Dalam majlis yang sama, Dato' Seri Adnan juga bersetuju untuk menyerahkan kesemua maklumat berhubung harta dimiliki beliau dalam waktu terdekat.

     

    "Saya secara peribadi dan secara rasminya bersama dengan ahli-ahli Exco lain masih lagi dalam proses mengumpulkan maklumat berhubung punca pendapatan dan pemilikan harta untuk diserahkan kepada SPRM," kata beliau.

     

    Beliau juga menyeru semua pihak melaksanakan tugas dengan adil dan saksama serta mengelak dari melakukan rasuah terutamanya berkaitan dengan perolehan.

     

    Beliau memberikan contoh di Pahang yang mana pemilihan tender bernilai tinggi akan dibawa kepada Exco dan keputusan dibuat melalui lembaga secara bersama dengan adil dan mengelakkan pemberian projek kepada kroni.

     

    Dalam majlis hari ini, Dato' Seri Adnan telah menyaksikan tandatangan komitmen bersama Ikrar Integriti antara SPRM. SPRM diwakili oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato' Sri Mustafar Ali manakala MPK pula oleh Yang Dipertuanya, Dato Fadzilla Salleh.

     

    Turut hadir Pengarah Pendidikan Masyarakat SPRM,  Dato Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Pengarah SPRM Pahang, Dato Wan Ramli Wan Abdullah.

     

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    20 APRIL 2016

    Kakitangan‎ MPK Tandatangan Ikrar Integriti, MB Pahang Sifatkan Langkah Proaktif PDF
  • Keputusan Peguam Negara Dirujuk PPO Amalan Biasa

    Keputusan Peguam Negara Dirujuk PPO Amalan Biasa

     

    Merujuk kenyataan media SPRM hari ini yang memutuskan untuk membentangkan keputusan Peguam Negara kepada Panel Penilaian Operasi (PPO), saya ingin menjelaskan bahawa keputusan merujuk kepada PPO ini merupakan prosedur yang diperuntukkan dalam mengurus kes sebelum mana-mana kes ditutup.

    Justeru tindakan merujuk kes Perdana Menteri kepada panel ini adalah satu proses biasa dan tidak sepatutnya ditafsir sebagai menolak keputusan yang diputuskan Peguam Negara.

    Selain itu, SPRM turut menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang dibuat oleh mana-mana individu bukanlah pandangan rasmi SPRM.

     

    DATO’ ROHAIZAD YAAKOB

    PENGARAH KOMUNIKASI STRATEGIK

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    27 JANUARI 2016

    Keputusan Peguam Negara Dirujuk PPO Amalan Biasa PDF
  • Kes Rasuah Isu Kuota Beras ST15: Pengarah Dan Pengurus Syarikat Hadapi Tiga Tuduhan

    DUA individu yang merupakan pengarah dan pengurus syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini terhadap tiga pertuduhan bersubahat dan menerima rasuah RM135,000 bagi mendapatkan kuota beras ST15 dua tahun lalu.

    Nor Azamuddin Ahmad, 47, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah sebagai upah mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 300 metrik tan untuk seorang pemilik syarikat pada Mei hingga Julai 2014.

    Seorang lagi tertuduh, Farid Idris Khan, 36, dituduh bersubahat dengan Nor Azamuddin dalam ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi.

    Kedua-dua tertuduh didakwa secara berasingan di depan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Nor Azamuddin dituduh menerima suapan RM45,000 daripada Datuk Noridan Spee Yee selaku pemilik DCT Bakery Sdn Bhd sebagai dorongan mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 metrik tan bagi perniagaan MNS Utara Enterprise dan MFM Utara Enterprise bagi Mei 2014 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No 69, Persiaran KCT 4/3, Kulim Techno City Golf View, Kulim Hi-Tech Park, Kulim pada jam 10 malam, 4 Mei 2014.

    Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Nor Azamuddin dituduh mengulangi kesalahan sama dengan menerima suapan masing-masing berjumlah RM45,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk kononnya mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 metrik tan bagi perniagaan sama bagi bulan Jun dan Julai 2014.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu masing-masing pada 6 Jun dan 2 Julai di lokasi dan masa yang sama.

    Farid pula dituduh bersubahat menerima rasuah secara keseluruhan berjumlah RM135,000 pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai suapan.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar.

    Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 3 Mei 2016.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    9 MAC 2016

     

    Kes Rasuah Isu Kuota Beras ST15: Pengarah Dan Pengurus Syarikat Hadapi Tiga TuduhanPDF  
  • Kes Rasuah: Pegawai Polis Dihukum Penjara 2 Tahun, Denda RM200,000

    Kes Rasuah: Pegawai Polis Dihukum Penjara 2 Tahun, Denda RM200,000

     

    SEORANG pegawai polis berpangkat Inspektor dihukum penjara dua tahun dan denda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur hari ini berhubung tuduhan meminta suapan wang tunai RM40,000 untuk melepaskan seorang lelaki dari kes dadah.

    Hakim Alaudeen Ismail menetapkan hukuman tersebut terhadap Raviindran Krishnan, 34, di akhir perbicaraan kes.

    Kes bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim.

    Walau bagaimanapun, Raviindran memohon kepada mahkamah supaya menangguhkan pelaksanaan hukuman kerana ingin memfailkan rayuan. Alaudeen membenarkan rayuan difailkan dan menaikkan jumlah jaminan kepada RM17,000.

    Raviindran didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada November 2014 membabitkan satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai RM40,000 melalui telefon daripada Dhalgit Singh Mahinder Singh sebagai dorongan untuk melepaskan Manimaran Kumarasamy yang ditahan berhubung kes dadah.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kepong, Kuala Lumpur pada 4 Jun 2013. Kesalahan ini didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan didenda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

    Tertuduh merupakan seorang inspektor yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur pada masa dia ditahan.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    19 JANUAR1 2015

    Kes Rasuah: Pegawai Polis Dihukum Penjara 2 Tahun, Denda RM200,000 PDF
  • Kes SRC International Dan Dana RM2.6 Bilion: SPRM Akan Respons Arahan Peguam Negara Dalam Waktu Terdekat

    Kes SRC International Dan Dana RM2.6 Bilion: SPRM Akan Respons Arahan Peguam Negara Dalam Waktu Terdekat

     

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima kembali kertas siasatan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion daripada Jabatan Peguam Negara hari ini.

    SPRM mengambil maklum arahan daripada Jabatan Peguam Negara yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang telah dikemukakan oleh SPRM sebelum ini. Respons SPRM kepada permintaan Jabatan Peguam Negara akan dikemukakan dalam waktu terdekat.

    Sementara itu, SPRM ingin menjelaskan bahawa laporan portal berita Sarawak Report hari ini, yang mengatakan kononnya terdapat 37 syor dakwaan berasingan telah dikemukakan oleh SPRM terhadap YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan kes SRC International, adalah tidak benar.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    18 JANUARI 2016

    KES-SRC-INTERNATIONAL-DAN-DANA-R-2.6-BILION-SPRM-AKAN-RESPONS-ARAHAN-PEGUAM-NEGARA-DALAM-WAKTU-TERDEKAT.pdf pdf
TOP

Visitor Statistic


Today
86
Yesterday
143
Week
906
Month
2884

All
3184209