• Agrobank Institusi Pembangunan Kewangan Pertama Tandatangani IBR

    Agrobank Institusi Pembangunan Kewangan Pertama Tandatangani IBR

    Agrobank muncul sebagai institusi pembangunan kewangan pertama yang menyahut inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Philea Resort & Spa, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

    Majlis melafaz dan menandatangani IBR yang bermula pada pukul 10 pagi tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Perkhidmatan Agrobank, Mad. Yusof Yazid dan disaksikan oleh Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato' Shamshun Baharin Mohd. Jamil.

    Turut menandatangani IBR tersebut ialah vendor-vendor utama Agrobank dalam majlis yang sama.

    Hadir bersama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato' Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman.

    Shamshun Baharin dalam ucapannya pada majlis itu berkata, penglibatan warga kerja Agrobank dalam majlis berkenaan jelas mencerminkan komitmen yang diberikan bagi memastikan institusi tersebut dan negara ini bersih dan bebas daripada belenggu jenayah rasuah serta salah guna kuasa.

    "Agrobank sebagai sebuah bank milik kerajaan di bawah naungan Kementerian Kewangan telah mengorak selangkah lagi ke hadapan dengan mengambil inisiatif sebagai perintis, iaitu sebagai institusi pembangunan kewangan pertama yang menandatangani IBR bersama SPRM.

    "Tindakan para kepimpinan Agrobank dan warganya untuk menandatangani IBR jelas memperlihatkan keikhlasan, komitmen dan keinginan institusi ini untuk mewujudkan sebuah persekitaran kerja yang kondusif dan bebas rasuah supaya tanggungjawab dan amanah Agrobank kepada rakyat, khususnya komuniti pertanian dapat dilaksanakan dengan baik," ujarnya.

    Tambah beliau, aspirasi dan kesedaran tersebut patut dipuji dan harus menjadi contoh kepada institusi-institusi kewangan lain di seluruh negara untuk sama-sama memerangi rasuah bersama SPRM.

    Majlis yang diadakan sempena Agrobank Managers Convention 2017tersebut dihadiri kira-kira 255 warga kerja Agrobank, termasuk pengurusan tertinggi institusi berkenaan.

    IBR merupakan satu inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh SPRM untuk memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama mereka memegang jawatan berkenaan.

    Jelas Shamshun, menerusi IBR yang dimeterai antara Agrobank dan SPRM, diharapkan ia akan mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam usaha memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa secara berterusan.

    "Menerusi inisiatif program IBR ini juga, saya berharap SPRM dan Agrobank akan terus meraihkepercayaan, keyakinan serta sokongan rakyat secara berterusan dan kekal istiqamah dalammelaksanakan amanah dan memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat," katanya.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    MELAKA

    26 FEBRUARI 2017

     Agrobank Institusi Pembangunan Kewangan Pertama Tandatangani IBR PDF
  • SPRM Telah Serah Kertas Siasatan Kes SRC International Dan RM2.6 Bilion Kepada Peguam Negara

    SPRM Telah Serah Kertas Siasatan Kes SRC International Dan RM2.6 Bilion Kepada Peguam Negara

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International kepada Peguam Negara pada hari ini, Khamis 31 Disember 2015.

     

    SPRM berpuas hati dengan keterangan-keterangan yang diperolehi walaupun banyak cabaran dan halangan dihadapi oleh SPRM. Lebih 100 orang saksi telah diambil keterangan mereka.

     

    Sebelum kertas siasatan membabitkan SRC International dikemukakan kepada Peguam Negara, SPRM telah membentangkan syor dan penemuan siasatan kepada satu panel bebas khas, yang terdiri daripada lima ahli, mewakili badan-badan bebas yang memantau perjalanan SPRM kecuali Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, pada 30 Disember 2015. Mereka merupakan pakar dalam bidang undang-undang, perbankan, korporat dan juga bidang siasatan.

     

    Lima ahli terbabit terdiri daripada mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; mantan Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Mohd Noor Abdullah; mantan Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Zamani Abdul Ghani; mantan Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee; dan peguam bela dan peguam cara, Dato’ Zuraidah Atan. Ahli-ahli panel ini juga telah mengemukakan cadangan dan pandangan yang bernas kepada SPRM.

     

    Dalam pada itu, satu kertas siasatan berkaitan kes RM2.6 bilion juga telah dikemukakan ke Peguam Negara pada hari ini. Siasatan membabitkan saksi-saksi di dalam negara telah selesai sepenuhnya. Keterangan daripada pihak yang mendakwa sebagai penderma juga telah diperolehi.

     

    Bagaimanapun SPRM masih perlu melengkapkan siasatan berkaitan dokumen dan keterangan melibatkan beberapa institusi kewangan di luar negara. Dokumen dan keterangan ini hanya boleh diambil melalui proses Mutual Legal Assistance (MLA) kerana ia terikat kepada peruntukan undang-undang perbankan negara berkenaan.

     

    Proses MLA hanya boleh dikeluarkan dengan persetujuan dan kebenaran Peguam Negara seperti mana diperuntukkan oleh undang-undang antarabangsa.

     

    SPRM telah membuat permohonan di bawah MLA kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan dokumen dan keterangan tersebut.

     

    SPRM telah mengemukakan beberapa syor cadangan dan tindakan bagi kedua-dua kes yang melibatkan tiga kertas siasatan untuk tindakan Peguam Negara.

     

    Justeru, SPRM menaruh keyakinan tinggi pada Peguam Negara selaku Pendakwa Raya untuk membuat keputusan secara profesional.

     

    DATO SRI MOHD SHUKRI ABDULL

    TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI)

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    31 DISEMBER 2015

     

      SPRM Telah Serah Kertas Siasatan Kes SRC International Dan RM2.6 Bilion Kepada Peguam Negara 
TOP

Visitor Statistic


Today
86
Yesterday
143
Week
906
Month
2884

All
3184209