• Isu SRC International Dan RM2.6 Bilion: Panel Penilaian Operasi Nasihati SPRM Supaya Ambil Tindakan Lanjut

    Isu SRC International Dan RM2.6 Bilion: Panel Penilaian Operasi Nasihati SPRM Supaya Ambil Tindakan Lanjut

     

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dinasihati oleh Panel Penilaian Operasi (PPO), yang mengadakan mesyuarat panel yang ke-29 pagi ini, berhubung perkara-perkara yang telah dibawa untuk pertimbangan Panel.

    Antara lain, PPO telah menasihati SPRM berhubung kes membabitkan SRC International dan dakwaan wang derma RM2.6 bilion. SPRM telah diminta oleh PPO supaya mengeluarkan satu kenyataan umum berhubung kedua-dua perkara terbabit.

    PPO bersetuju bahawa SPRM perlu mengemukakan kembali kertas siasatan berhubung SRC International kepada Peguam Negara untuk pertimbangan.

    Memandangkan siasatan SPRM berhubung dakwaan wang derma RM2.6 bilion masih belum lengkap, Panel telah mengesyorkan agar SPRM meneruskan siasatannya dan memohon Peguam Negara agar mengeluarkan kebenaran Bantuan Undang-undang Bersama (MLA) bagi SPRM memperoleh bukti dan dokumen-dokumen daripada institusi kewangan di luar negara sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas isu RM2.6 bilion.

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
    KUALA LUMPUR
    24 FEBRUARI 2016

    Isu SRC International Dan Rm2.6 Bilion: Panel Penilaian Operasi Nasihati SPRM Supaya Ambil Tindakan Lanjut PDF
  • Kes SRC Dan Dana RM2.6 Bilion: SPRM Ulangi Jaminan Siasatan Akan Dikendali Dengan Bebas Dan Profesional

    MERUJUK kepada laporan beberapa portal dan akhbar yang memetik karya Dato A. Kadir Jasin berkaitan kes yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya selaku Pengarah Bahagian Operasi Khas, ingin memaklumkan yang pasukan siasatan kes ini telah diberi panduan dan amanat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed bahawa pasukan siasatan mesti merekodkan syor berkenaan hasil siasatan dengan bebas iaitu sama ada terdapat kes ataupun sebaliknya. Jika terdapat kes, menjadi tanggungjawab kami untuk mencadangkan pertuduhan dalam laporan Kertas Siasatan yang akan dikemukakan kepada Peguam Negara pada minggu depan. Begitu juga sebaliknya.

    Pengurusan Tertinggi SPRM berpendirian perkara ini penting bagi memastikan semua pihak akan mengetahui yang SPRM telah mengambil segala tindakan secara profesional dan bebas. Pasukan siasatan yang terlibat dalam kes ini menghormati dan berbangga dengan ketegasan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan juga Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Dato Sri Mohd Shukri Abdull dalam kes ini.

    Dalam pada itu, berhubung kenyataan YB Rafizi Ramli bahawa SPRM perlu mendedahkan nama penderma yang menyumbangkan RM2.6 bilion kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Akta SPRM 2009 tidak membolehkan SPRM memaklumkan butiran terperinci kepada publik.

    SPRM tiada masalah untuk mendedahkan butiran siasatan andainya ia tidak bercanggah dengan undang-undang. Bagaimanapun peruntukan yang sedia ada tidak membenarkan SPRM berbuat demikian. Perkara ini juga ada disebutkan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman kepada sebuah portal pada 26 Disember 2015, di mana SPRM tidak ada kuasa sehingga kes yang disiasat dibawa ke mahkamah.

    SPRM berharap semua pihak faham akan perkara ini. Sebagai penggubal undang-undang, diharap YB Rafizi memahami kekangan ini dan mengesyorkan pindaan yang sewajarnya bagi membolehkan SPRM mendedahkan hasil siasatan kes-kes yang disiasat secara terperinci kepada umum.

    Bagi pihak SPRM, saya memberi jaminan siasatan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion akan dikendalikan dengan bebas, telus dan profesional.

     

    DATO' BAHRI MOHAMAD ZIN

    PENGARAH OPERASI KHAS

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA PUTRAJAYA

    27 DISEMBER 2015

      /images/Kenyataan-media-sprm-kes-src-international-27dis15.pdf
  • Kes SRC International Dan Dana RM2.6 Bilion: SPRM Akan Respons Arahan Peguam Negara Dalam Waktu Terdekat

    Kes SRC International Dan Dana RM2.6 Bilion: SPRM Akan Respons Arahan Peguam Negara Dalam Waktu Terdekat

     

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima kembali kertas siasatan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion daripada Jabatan Peguam Negara hari ini.

    SPRM mengambil maklum arahan daripada Jabatan Peguam Negara yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang telah dikemukakan oleh SPRM sebelum ini. Respons SPRM kepada permintaan Jabatan Peguam Negara akan dikemukakan dalam waktu terdekat.

    Sementara itu, SPRM ingin menjelaskan bahawa laporan portal berita Sarawak Report hari ini, yang mengatakan kononnya terdapat 37 syor dakwaan berasingan telah dikemukakan oleh SPRM terhadap YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan kes SRC International, adalah tidak benar.

     

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    18 JANUARI 2016

    KES-SRC-INTERNATIONAL-DAN-DANA-R-2.6-BILION-SPRM-AKAN-RESPONS-ARAHAN-PEGUAM-NEGARA-DALAM-WAKTU-TERDEKAT.pdf pdf
  • SPRM Telah Serah Kertas Siasatan Kes SRC International Dan RM2.6 Bilion Kepada Peguam Negara

    SPRM Telah Serah Kertas Siasatan Kes SRC International Dan RM2.6 Bilion Kepada Peguam Negara

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International kepada Peguam Negara pada hari ini, Khamis 31 Disember 2015.

     

    SPRM berpuas hati dengan keterangan-keterangan yang diperolehi walaupun banyak cabaran dan halangan dihadapi oleh SPRM. Lebih 100 orang saksi telah diambil keterangan mereka.

     

    Sebelum kertas siasatan membabitkan SRC International dikemukakan kepada Peguam Negara, SPRM telah membentangkan syor dan penemuan siasatan kepada satu panel bebas khas, yang terdiri daripada lima ahli, mewakili badan-badan bebas yang memantau perjalanan SPRM kecuali Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, pada 30 Disember 2015. Mereka merupakan pakar dalam bidang undang-undang, perbankan, korporat dan juga bidang siasatan.

     

    Lima ahli terbabit terdiri daripada mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; mantan Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Mohd Noor Abdullah; mantan Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Zamani Abdul Ghani; mantan Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee; dan peguam bela dan peguam cara, Dato’ Zuraidah Atan. Ahli-ahli panel ini juga telah mengemukakan cadangan dan pandangan yang bernas kepada SPRM.

     

    Dalam pada itu, satu kertas siasatan berkaitan kes RM2.6 bilion juga telah dikemukakan ke Peguam Negara pada hari ini. Siasatan membabitkan saksi-saksi di dalam negara telah selesai sepenuhnya. Keterangan daripada pihak yang mendakwa sebagai penderma juga telah diperolehi.

     

    Bagaimanapun SPRM masih perlu melengkapkan siasatan berkaitan dokumen dan keterangan melibatkan beberapa institusi kewangan di luar negara. Dokumen dan keterangan ini hanya boleh diambil melalui proses Mutual Legal Assistance (MLA) kerana ia terikat kepada peruntukan undang-undang perbankan negara berkenaan.

     

    Proses MLA hanya boleh dikeluarkan dengan persetujuan dan kebenaran Peguam Negara seperti mana diperuntukkan oleh undang-undang antarabangsa.

     

    SPRM telah membuat permohonan di bawah MLA kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan dokumen dan keterangan tersebut.

     

    SPRM telah mengemukakan beberapa syor cadangan dan tindakan bagi kedua-dua kes yang melibatkan tiga kertas siasatan untuk tindakan Peguam Negara.

     

    Justeru, SPRM menaruh keyakinan tinggi pada Peguam Negara selaku Pendakwa Raya untuk membuat keputusan secara profesional.

     

    DATO SRI MOHD SHUKRI ABDULL

    TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI)

    SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

    PUTRAJAYA

    31 DISEMBER 2015

     

      SPRM Telah Serah Kertas Siasatan Kes SRC International Dan RM2.6 Bilion Kepada Peguam Negara 
TOP

Visitor Statistic


Today
111
Yesterday
199
Week
1180
Month
5030

All
3196549