Pegawai Kastam Dipenjara 7 Hari Dan Didenda RM30,000 Kerana Rasuah

 

SEORANG pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berpangkat Pembantu Penguasa, Khairul Paizi Ahmad, 50, dipenjara tujuh hari dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Kangar atas kesalahan menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada seorang pemilik bot dua tahun lalu.

Hakim Johari Hassan menjatuhkan hukuman tersebut selepas Khairul Paizi mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di jeti pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Jalan Bukit Tok Po Kuala Perlis pada 13 Jun 2016 sekitar jam 1.30 petang.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 10 Jun 2016, Khairul bersama rakan sekerjanya telah menahan sebuah bot yang dibawa oleh beberapa orang warga Thailand.

Rakan sekerja Khairul kemudiannya memeriksa bot berkenaan dan merampas lesen Vesel serta peralatan menangkap ikan bot terbabit beserta resit minyak dan mengarahkan pemilik bot tersebut untuk menghubungi tertuduh.

Apabila pemilik bot berjumpa dengan tertuduh pada 11 Jun 2018, tertuduh meminta wang berjumlah RM3,000 sebagai balasan untuk tidak melaporkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang boleh menyebabkan bot terbabit diberhentikan daripada menerima subsidi minyak serta untuk memulangkan kesemua barangan dan dokumen yang telah dirampas.

Sementara itu, perbicaraan terhadap rakan sekerja Khairul, Hizir Said, 43 pula ditetapkan pada 7 Ogos 2018.

Hizir menghadapi satu pertuduhan di bawah Seksyen 28 (c) ASPRM 2009 kerana bersubahat bersama Khairul dalam melakukan kesalahan rasuah.

Pendakwaan bagi pihak SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Aliff Farhan Hassan.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
23 JULAI 2018

 

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
69
Semalam
140
Minggu Ini
377
Bulan Ini
2492

Keseluruhan
3409199