Pengurus Projek Dihukum Penjara dan Sebat

SEORANG Pengurus Projek Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merlimau, Melaka yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen (1) Melaka hari ini atas kesalahan menyeleweng peruntukan baja lebih RM2.54 juta.

Muhamad Nasir Razak, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dato' Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membuat pesanan baja sebatian, baja urea dan baja NPK Tambahan sebanyak 56,700 beg bernilai RM2,544,650 untuk PPK Merlimau tanpa arahan Pengurus Besar dan tanpa kelulusan daripada Jawatankuasa Penapis.

Selepas menerima 56,700 beg baja sebatian, baja urea dan baja NPK Tambahan daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan, tertuduh didapati telah menyimpan kesemua baja padi tersebut di stor PPK Merlimau tanpa merekodkan butiran subsidi baja padi yang diterima dalam Buku Rekod Stok.

Muhamad Nasir kemudiannya didakwa telah mengagihkan 20,000 beg baja padi tersebut secara percuma kepada seorang individu dan selebihnya dijual kepada tiga individu dengan harga RM10 setiap beg yang mana kesemua individu berkenaan tidak layak menerima bantuan subsidi baja padi di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di PPK Merlimau antara Januari 2016 hingga Disember 2016.

Muhamad Nasir dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, denda dan sebat.

Bagi pihak SPRM, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Afzainizam Abdul Aziz.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
27 MAC 2018

Pengurus Projek Dihukum Penjara dan Sebat  PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
1492
Semalam
320
Minggu Ini
1492
Bulan Ini
27934

Keseluruhan
3321232