G-WAR Jadikan Wanita Penggerak Budaya Benci Rasuah

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah melancarkan Gerakan Wanita Antirasuah (G-WAR), hari ini.

Perasmian G-WAR disempurnakan oleh Menteri KPWKM, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad di Dewan Nur KPWKM, Putrajaya.

G-WAR yang merupakan cetusan idea Tan Sri Dzulkifli menyasarkan semua golongan wanita yang terdiri daripada wanita korporat, usahawan, ahli akademik, NGO, ahli sukan, artis dan suri rumah sebagai kumpulan sasaran pembentukan wanita membenci rasuah ini.

Program seumpama ini merupakan julung kali diadakan sejak 50 tahun penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR) /SPRM dengan berkonsepkan golongan wanita sebagai penggerak utama kepada budaya membenci rasuah yang bermula dari rumah hingga kepada setiap lapisan masyarakat.

Penubuhan G-WAR ini juga selaras dengan seruan KPWKM yang telah mengumumkan tahun 2018 adalah tahun memperkasakan wanita dengan mengikut lima kluster iaitu Kluster Wanita dan Kesihatan (Gaya Hidup, Kecantikan dan Sukan), Kluster Wanita dan Keselamatan, Kluster Wanita dan Ekonomi, Kluster Wanita dan Pendidikan (Latihan dan Pembangunan Kapasiti) dan Kluster Wanita dan Budaya (Kesenian dan Media).

Dalam pada itu, G-War juga akan dilancarkan di seluruh negara menerusi SPRM negeri dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) KPWKM dan Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga kerajaan negeri.

SPRM juga berharap budaya membenci, menolak dan memerangi rasuah dapat dihidupkan dalam diri setiap individu melalui peranan yang dimainkan oleh wanita.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
1 MAC 2018

G-WAR Jadikan Wanita Penggerak Budaya Benci Rasuah  PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
275
Semalam
111
Minggu Ini
275
Bulan Ini
15158

Keseluruhan
3282484