SPRM Anjur H2R Sebar Luas Mesej Antirasuah Dalam Kalangan Peminat Motosikal

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menganjurkan Program Himpunan Dua Roda (H2R) bagi menyebar luas mesej antirasuah dalam kalangan peminat-peminat motosikal di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, hari ini.

Program yang julung-julung kali diadakan tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran golongan peminat-peminat motosikal mengenai gejala rasuah di negara ini di samping mendekati golongan tersebut agar mereka bekerjasama dengan SPRM dalam usaha memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Program yang bermula jam 9 pagi itu dimulakan dengan acara Moto Show dan disertai persembahan muzik oleh Chubby Busker dan Salam Busker.

Turut diadakan ialah gerai pameran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pusat Darah Negara.

Pada program yang sama, turut diadakan ialah Majlis Pelancaran Kempen Revolusi 3J dan Street Warriors Against Corruption (SWAC).

Kedua-dua program yang merupakan cetusan idea Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad tersebut bertujuan untuk memupuk dan mewujudkan gerakan masyarakat khususnya dalam kalangan peminat motosikal supaya mereka membenci serta menolak gejala rasuah dan salah guna kuasa bersama SPRM.

Sementara itu, bagi menzahirkan komitmen menentang rasuah bersama SPRM, seramai 10,000 peminat sukan permotoran telah melafaz Ikrar Bebas Rasuah pada program yang sama dan majlis itu disaksikan oleh Dzulkifli.

Sebelum mengakhiri program tersebut, para pengunjung turut disajikan dengan persembahan artis yang terdiri daripada Siti Nordiana, Projector Band, Janna Nick dan Haqiem Rusli.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
3 MAC 2018

SPRM Anjur H2r Sebar Luas Mesej Antirasuah   PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
1331
Semalam
1424
Minggu Ini
2755
Bulan Ini
22497

Keseluruhan
3387100