IDEA BAHARU PERANGI JENAYAH RASUAH

 

Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) perlu memastikan idea-idea baharu yang dilakarkan untuk menentang jenayah rasuah dan salah guna kuasa disampaikan kepada masyarakat pada era yang semakin berkembang pesat agar gejala tersebut dapat ditangani bagi jangka masa panjang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, anggota IACA perlu mengadakan perbincangan dari segi penyediaan akademik dan latihan terkini bagi memastikan jenayah rasuah dan salah guna kuasa ditangani dengan lebih menyeluruh agar akademi itu kekal relevan.
“Saya menyeru anggota IACA agar mewujudkan satu rangkaian kerjasama sistematik, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi dengan berkongsi pengalaman masing-masing tanpa terikat dengan protokol.

“Setiap anggota perlu memahami bahawa faedah yang diberikan oleh IACA bukan sahaja kepada anggotanya, malah kepada seluruh dunia, sejajar dengan visi IACA dalam menyelesaikan isu rasuah dan salah guna kuasa untuk jangka masa panjang demi kepentingan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan pada IACA Ke-6 yang berlangsung selama tiga hari di Sharm el-Sheikh, Mesir bermula 2 Oktober 2017.

Jelas beliau, Malaysia selama ini menyokong usaha IACA dalam usaha pencegahan rasuah dan antara komitmen yang ditunjukkan ialah penganjuran satu modul Masters in Anti-Corruption Studies (MACS) oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) pada tahun 2012 dan 2014.

“Seramai 60 pegawai agensi antirasuah dari pelbagai negara telah menerima latihan menerusi MACS dalam tempoh masa tersebut.

“Justeru, Kerajaan Malaysia memberikan sokongan kepada IACA dalam usaha memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa pada masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, bagi memastikan gejala rasuah dan salah guna kuasa diperangi secara habis-habisan, katanya, Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan beberapa perubahan struktur dari segi undang-undang dalam memerangi rasuah, antaranya ialah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi menggalakkan orang ramai memberi maklumat mengenai rasuah dan salah guna kuasa serta Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696) yang melindungi saksi dalam kes jenayah.

“Selain itu, kerajaan turut mempertimbangkan secara serius untuk menguatkuasakan beberapa peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi memastikan syarikat korporat dan organisasi agar bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan oleh kakitangan mereka melibatkan tender kerajaan.

“Dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan juga telah memulakan kelas mengenai antirasuah di peringkat sekolah rendah serta menubuhkan Sekretariat Pencegahan Rasuah di peringkat universiti agar pengetahuan mengenai antirasuah dikongsi secara umum,” katanya.

Tambah Razali, usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa tidak akan berjaya tanpa kerjasama dan penglibatan daripada orang ramai.

“Bagi memastikan isu rasuah ditangani, setiap lapisan masyarakat, termasuk ahli politik, penjawat awam, golongan akademik dan pelajar perlu berpegang kepada misi tunggal, iaitu mewujudkan dunia tanpa rasuah,” tegas beliau.

Pada masa yang sama, beliau turut meminta peserta MACS untuk berkongsi pengetahuan yang diperoleh menerusi persidangan tersebut di negara masing-masing dengan menerapkannya dalam sukatan pelajaran pendidikan seperti yang telah dilakukan oleh Kerajaan Malaysia.

Dalam ucapannya juga, Razali juga menyatakan Kerajaan Malaysia telah mewujudkan satu pangkalan data ‘Name & Shame’ melalui platform digital yang akan memaparkan nama pesalah rasuah untuk pengetahuan awam.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
3 OKTOBER 2017

Idea Baharu Perangi Jenayah Rasuah PDF

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
74
Semalam
204
Minggu Ini
1214
Bulan Ini
3817

Keseluruhan
3202910