SPRM Gesa Guan Eng Mohon Maaf Atau Tindakan Diambil

 

Merujuk laporan berita bertajuk “Sg Lembu illegal factory: Guan Eng claims ignorance over DoE's letter to MPSP and Norlela” yang disiarkan oleh akhbar New Straits Times hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa penahanan Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh oleh SPRM sebagai “penahanan haram” adalah merupakan satu kenyataan yang berunsur fitnah.

Selepas meneliti audio dan video pertemuan Guan Eng dengan pihak media pada 24 Ogos 2017 di Komtar, Pulau Pinang, SPRM mendapati Guan Eng dengan jelas telah menggunakan perkataan “penahanan haram oleh SPRM” apabila menjawab soalan wartawan berhubung isu kilang haram di Sungai Lembu tersebut.

SPRM memandang serius kenyataan “penahanan haram oleh SPRM” dan beranggapan ia merupakan satu fitnah jahat yang bertujuan untuk memburuk-burukkan nama baik SPRM serta mencemarkan dan menjejaskan reputasi SPRM.

SPRM turut percaya bahawa Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Abdul Wahab Mohamed tidak pernah dalam penghakimannya berkaitan penahanan reman Phee Boon Poh menyatakan bahawa penahanan yang dibuat oleh SPRM sebagai ‘penahanan haram’.

Justeru itu, Guan Eng digesa agar memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada SPRM dalam tempoh empat puluh lapan (48) jam daripada kenyataan ini dikeluarkan atau tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.

Selain itu, perlu juga ditegaskan bahawa SPRM telah pun memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 Ogos 2017 berikutan keputusan mahkamah tersebut yang telah membatalkan penahanan reman terhadap Phee Boon Poh.

Memandangkan rayuan ini masih belum selesai dan dimuktamadkan sepenuhnya di mahkamah maka sebarang kenyataan oleh mana-mana pihak berkaitan penahanan tersebut adalah subjudis dan boleh dianggap sebagai tindakan menghina mahkamah.

 

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA

25 OGOS 2017

SPRM Gesa Guan Eng Mohon Maaf Atau Tindakan Diambil   PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
74
Semalam
204
Minggu Ini
1214
Bulan Ini
3817

Keseluruhan
3202910