Kelantan komited dengan usaha pembanterasan rasuah menerusi IBR

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakamkan tahniah dan syabas kepada barisan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri Kelantan atas komitmen menyokong penuh usaha pembanterasan rasuah oleh SPRM dengan melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Majlis Menandatangani dan Melafazkan IBR yang berlangsung di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, Kelantan hari ini, diketuai oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob dan diikuti Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan dan Ex-Officio sambil disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Datuk Dzulkifli berkata, pelaksanaan IBR oleh kerajaan negeri Kelantan merupakan manifestasi sokongan jelas kerajaan negeri terbabit kepada usaha SPRM bagi memastikan Kelantan khususnya dan Malaysia secara amnya sentiasa bersih dan bebas daripada gejala rasuah.

“Sesebuah kerajaan yang gagal memberi perkhidmatan yang efisien kerana dilingkari dan dicemari dengan isu-isu berkaitan rasuah dan salah guna kuasa tentu akan menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat dan seterusnya mengundang kemerosotan prestasi yang akan menghambat pembangunan dan kesejahteraan rakyat", jelas Datuk Dzulkifli.

Majlis IBR tersebut disertai seramai 16 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan dan Ex-Officio. Sementara itu, kerajaan negeri Kelantan turut menggandakan komitmen membanteras rasuah dengan menyertai Sahabat GERAH SPRM sejurus selepas menandatangani IBR.

Sahabat GERAH SPRM dilancarkan pada 1 Ogos lalu oleh Datuk Dzulkifli bertujuan memberi peluang kepada masyarakat untuk sama-sama terlibat dengan SPRM dalam memerangi gejala rasuah.

Dalam pada itu, Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Persekutuan dan Negeri Kelantan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan turut melafaz dan menandatangani IBR pada dua Majlis yang berbeza yang diadakan bermula semalam.

Lebih 400 individu yang mewakili hampir 50 NGO meliputi seluruh Kelantan telah menzahirkan komitmen masing-masing menerusi IBR serta berikrar akan terus menjadi mata dan telinga SPRM dalam membendung gejala rasuah daripada terus berleluasa.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

KOTA BHARU

16 OGOS 2017

 Kelantan komited dengan usaha pembanterasan rasuah menerusi IBR PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
74
Semalam
204
Minggu Ini
1214
Bulan Ini
3817

Keseluruhan
3202910