Dzulkifli mahu masyarakat cina sokong SPRM

MASYARAKAT Cina diharap memberi sokongan dan dokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa di negara ini agar gejala negatif tersebut dapat diatasi dengan lebih menyeluruh.

Hasrat tersebut disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad ketika mengadakan kunjungan dan pertemuan bersama anggota Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) di Menara Hua Zong, hari ini.

Menurut beliau, masalah rasuah di negara ini semakin serius yang mana usaha pencegahan perlu dilakukan dengan penglibatan setiap pihak, termasuk masyarakat Cina.

"Isu rasuah dan salah guna kuasa merupakan isu negara dan semua pihak perlu bekerjasama dengan SPRM dalam memerangi gejala negatif tersebut.

"Kami mahu semua rakyat, termasuk masyarakat Cina memberi sokongan dan dokongan kepada SPRM kerana dengan tenaga kerja sedia ada, kami tidak mampu memerangi kegiatan rasuah dan salah guna kuasa tanpa bantuan daripada semua pihak," katanya ketika memberi ucapan pada sesi pertemuan bersama anggota Hua Zong.

Kunjungan disertai 10 pegawai SPRM yang diketuai Dzulkifli itu disambut oleh Presiden Hua Zong, Tan Sri Pheng Yin Huah bersama 10 anggota pertubuhan itu.

Hadir bersama ialah Ketua Staf Pejabat Eksekutif Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato' Norazlan Mohamad Razali, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Dato' Abdul Samat Kasah dan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, Dato' Junipah Wandi.

Kata Dzulkifli lagi, masyarakat Cina perlu berani menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa kepada SPRM bagi memastikan negara kita bersih daripada belenggu rasuah.

"Kami berharap Hua Zong boleh sampaikan mesej dan hasrat kami kepada masyarakat Cina supaya laporkan kegiatan rasuah dan salah guna kuasa kerana maklumat berkenaan amat penting bagi kami untuk mengambil tindakan sewajarnya," ujar beliau.

Dalam pertemuan selama dua jam setengah tersebut, kedua-dua pihak sempat berkongsi maklumat mengenai isu-isu rasuah dan salah guna kuasa yang timbul dalam sektor perniagaan menerusi sesi dialog yang diadakan.

Pada masa yang sama, kedua-dua pihak juga berbincang mengenai langkah-langkah pencegahan serta perancangan jangka masa panjang bagi mengeratkan hubungan kerjasama antara SPRM dan Hua Zong yang terjalin sebelum ini.

Bersempena dengan pertemuan itu juga, Yin Huah turut mewakili seluruh anggota Hua Zong untuk menyerahkan memorandum kepada Dzulkifli.

SPRM akan sentiasa memberi bantuan kepada Hua Zong dalam usaha memerangi kegiatan rasuah dan salah guna kuasa agar sektor perniagaan bersih daripada gejala negatif itu.

SPRM juga berharap dengan kerjasama erat yang terjalin tersebut, isu-isu rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor perniagaan dapat ditangani dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA

7 OGOS 2017

 Dzulkifli mahu masyarakat cina sokong SPRM PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
50
Semalam
432
Minggu Ini
1048
Bulan Ini
4827

Keseluruhan
3210060