Rasuah Dan Salahguna Kuasa: Bekas Leftenan Kolonel Dihadap Ke Mahkamah

SEORANG bekas anggota tentera yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadap ke Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang hari ini atas kesalahan rasuah dan salahguna kuasa melibatkan RM95,794.

Tertuduh, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Leftenan Kolonel, Shaharil Hisham Abdul Razak, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Dato' Habibah Mohamed Yusof.

Shaharil berdepan dengan sembilan pertuduhan iaitu dua pertuduhan bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan tujuh pertuduhan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Bagi dua pertuduhan bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, Shaharil, yang merupakan Pegawai Staf 1 (Ketua Zon) di Pejabat Senggaraan Zon Timur, Pahang, didakwa menyalahgunakan kuasanya dengan memberi projek kerja-kerja penyelenggaraan bernilai RM75,000 kepada syarikat milik ahli keluarganya.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Markas Angkatan Tentera Malaysia, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP), Pejabat Senggaraan Zon Timur, Pahang, antara November 2015 hingga April 2016.

Untuk tujuh pertuduhan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan pula, dia didakwa telah menerima suapan bernilai RM20,794 antara November 2016 hingga Disember 2016 di Daerah Kuantan, Temerloh dan Kuala Lumpur yang mana suapan yang diterima tersebut mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, mereka yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi Seksyen 165 Kanun Keseksaan pula, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim membenarkan Shaharil diikat jamin sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 4 Julai ini.

Bagi pihak SPRM, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA

8 JUN 2017

  PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
86
Semalam
143
Minggu Ini
906
Bulan Ini
2884

Keseluruhan
3184209