SPRM Tandatangan Memorandum Persefahaman Dengan JPJ

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai usaha membanteras rasuah dan salahguna kuasa di jabatan berkenaan.

Langkah itu merupakan inisiatif yang dapat menzahirkan komitmen pengurusan tertinggi JPJ dalam menyokong usaha-usaha pencegahan rasuah dan memastikan JPJ menjadi organisasi yang diyakini dan dipandang tinggi oleh masyarakat sebagai agensi yang bersih serta bebas rasuah dan salahguna kuasa.

Dengan memorandum persefahaman yang dimeterai, kerjasama antara SPRM dan JPJ dapat dilaksanakan secara berterusan dan berstruktur. Terma rujukan dalam memorandum persefahaman ini meliputi perkongsian kepakaran dalam aspek pengesanan, penyaluran maklumat, khidmat rundingan, pendidikan dan latihan serta usaha-usaha peningkatan integriti dan mengukuhkan amalan nilai murni ke arah meningkatkan kapasiti dan kemampuan pegawai SPRM dan JPJ dalam membanteras jenayah rasuah.

Antara aktiviti kerjasama penguatkuasaan dan pencegahan rasuah yang telah dilaksanakan antara SPRM dan JPJ ialah pelaksanaan operasi bersama dalam Ops Klon dan menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) di kalangan institusi memandu.

JPJ sebelum ini pernah menandatangani memorandum persefahaman bersama SPRM pada tahun 2000 dan 2010. Kerjasama yang telah terjalin selama ini diteruskan lagi menerusi perjanjian yang ditandatangani ini.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara SPRM dengan JPJ diadakan di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya pada hari Isnin, 15 Mei 2017.

MOU berkenaan ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Seri Nadzri Siron.

Pada majlis tersebut, JPJ turut melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai usaha untuk mencegah berlakunya rasuah dan salahguna kuasa dalam organisasi mereka sekaligus menyokong inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh SPRM. Lafaz ikrar pada majlis tersebut diketuai oleh Dato’ Sri Nadzri.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA

16 MEI 2017

 SPRM Tandatangan Memorandum Persefahaman Dengan JPJ PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
1151
Semalam
1385
Minggu Ini
1151
Bulan Ini
78128

Keseluruhan
2997930