SPRM Seru Warga Pekerja Bina Budaya Benci Rasuah Dan Salahguna Kuasa

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Dzulkifli Ahmad mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh kaum pekerja di negara ini termasuk warga SPRM bersempena sambutan Hari Pekerja 2017.

Sebagai nadi penting kepada pembangunan dan kemajuan rakyat serta negara, pekerja-pekerja haruslah memastikan gaji atau upah yang diterima tidak diperolehi melalui pekerjaan atau hasil rezeki yang bertentangan dengan undang-undang, etika dan integriti seperti rasuah dan salahguna kuasa.

Selain itu, warga pekerja di negara ini, yang juga merupakan pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, haruslah memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan negara tercinta ini bebas dan bersih daripada anasir rasuah dan salahguna kuasa.

Justeru itu, SPRM menyeru kepada kesemua warga pekerja di negara ini agar terus berdiri teguh bersama SPRM untuk terus bangkit menentang kemungkaran jenayah rasuah dan salahguna kuasa yang boleh membantutkan pembangunan dan kemajuan negara.

Jenayah rasuah dan salahguna kuasa merupakan penindasan kepada seluruh masyarakat, maka kita perlu bersama-sama berusaha ke arah membina budaya benci rasuah dan salahguna kuasa dalam kalangan pekerja sekali gus menjadikan negara Malaysia lebih cemerlang.

SPRM juga menyeru seluruh warga pekerja di negara ini untuk bersama-sama menyokong SPRM bagi menggesa kerajaan agar mengisytiharkan rasuah dan salahguna kuasa sebagai musuh nombor satu negara.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA

30 APRIL 2017

SPRM Seru Warga Pekerja Bina Budaya Benci Rasuah Dan Salahguna Kuasa   PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
16
Semalam
244
Minggu Ini
16
Bulan Ini
3175

Keseluruhan
3184500