Rasuah Berkaitan Isu Dan Pegawai Alam Sekitar: Lima Individu Termasuk Bekas Pengarah Berpangkat Datuk Didakwa

SERAMAI lima individu termasuk bekas Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa atas pelbagai kesalahan rasuah melibatkan isu alam sekitar di empat negeri hari ini.

Di Kuala Terengganu, bekas Pengarah Perhutanan Terengganu, Datuk Azmi Nordin dituduh atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM60,000 pada Mac hingga Ogos 2013.

Tertuduh berusia 58 tahun yang ketika ini bertugas sebagai Pengarah Bahagian Sivikultur dan Pemeliharaan Biologi Hutan, Jabatan Hutan Semenanjung itu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima rasuah dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Di Kuantan, seorang pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) didakwa melakukan tuntutan palsu berjumlah RM23,400 pada November 2013.

Tertuduh, Abu Zahrim Ismail, 44, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Di Seremban pula, seorang lagi pegawai Perhilitan didakwa atas enam tuduhan mengambil suapan berjumlah RM10,000 dua tahun lalu. A’zman Othman, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap keenam-enam pertuduhan dan minta dibicarakan.

Tertuduh didakwa mengambil suapan wang tunai RM10,000 sebagai upah melancarkan proses kelulusan bulanan bagi perkhidmatan mencuci dan membersih bangunan.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memberi rasuah kepada dua pegawai SPRM berhubung aktiviti perlombongan pasir secara haram di tanah rizab kerajaan di Putrajaya, tahun lalu.

K. Mohan, 42, dan How Ah Lai, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Madihah Harullah.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA

4 APRIL 2017

Rasuah Berkaitan Isu Dan Pegawai Alam Sekitar: Lima Individu Termasuk Bekas Pengarah Berpangkat Datuk Didakwa  PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
1155
Semalam
1385
Minggu Ini
1155
Bulan Ini
78132

Keseluruhan
2997934