4 Penguat Kuasa, Bekas Penguat Kuasa Disiasat SPRM Didakwa Terima Rasuah

SERAMAI empat penguat kuasa dan bekas penguat kuasa dari empat buah negeri yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan meminta dan menerima rasuah, hari ini.

Mereka yang dituduh termasuk seorang Inspektor, dua orang Sarjan dan seorang bekas pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Seorang daripada mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Sandakan, seorang di Mahkamah Sesyen Georgetown, seorang di Mahkamah Sesyen Melaka manakala seorang lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi pertuduhan berasingan.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda daripada nilai suapan, mengikut mana-mana lebih tinggi serta Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, sekiranya didapati bersalah.

Sementara itu, seorang bekas polis bantuan yang turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM3,000 daripada seorang kontraktor syarikat pembinaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Daerah Hulu Langat antara 26 November hingga 7 Disember 2015 sebagai dorongan untuk tidak mengganggu kerja-kerja pembinaan projek perumahan sebanyak 98 unit rumah semi-D di Putrajaya.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM15,000 terhadap tertuduh, Zakaria Kepol, 44, dan tertuduh akan dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Georgetown, Mahkamah Sesyen Melaka dan Mahkamah Sesyen Sandakan, kes akan disebut semula masing-masing pada 27 April, 19 April, 27 April ini.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Mahkamah Sesyen Shah Alam pula, kes akan disebut semula secara serentak pada 14 April depan di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana melibatkan tertuduh yang sama.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

PUTRAJAYA

16 MAC 2017

 4 Penguat Kuasa, Bekas Penguat Kuasa Disiasat SPRM Didakwa Terima Rasuah PDF
TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
14
Semalam
244
Minggu Ini
14
Bulan Ini
3173

Keseluruhan
3184498