KUALA LUMPUR - Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah bagi acara penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pencegahan Rasuah Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani adalah sebagai menghargai usaha bersungguh-sungguh negara ini memerangi rasuah, kata Duta Besar Qatar ke Malaysia, Fahad Muhammad Kafoud. Beliau berkata, Malaysia dipilih sebagai lokasi ketiga selepas Vienna dan Geneva yang masing-masing telah menjadi tuan rumah bagi acara tahunan ini pada 2016 dan 2017, atas kecemerlangannya memerangi rasuah. “Acara ini akan diadakan di Putrajaya pada Jumaat ini,” kata beliau dalam kenyataan yang disiarkan Agensi Berita Qatar (QNA), malam tadi.
 
 Beliau berkata Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sendiri akan menyampaikan anugerah tersebut kepada pemenang dari seluruh dunia dan baginda dijangka melakukan lawatan kerja ke Malaysia bagi tujuan itu.
 
Fahad berkata lawatan Emir Qatar itu ke Malaysia mencerminkan hubungan erat kedua-dua negara yang terjalin sejak beberapa dekad lalu. Hubungan dua hala ini, katanya, dibina atas prinsip saling menghormati kedaulatan dan tidak mencampuri urusan dalaman masing-masing.
 
"Lawatan Emir Qatar kali ini juga bertujuan mengenali dengan lebih dekat barisan kepimpinan baharu Malaysia, yang menerima mandat pemerintahan pada pilihan raya umum 5 Mei lalu. “Kunjungan ini diharapkan menjadi titik penting dalam meletakkan asas yang kuat bagi mengukuhkan hubungan dua hala dalam kerangka membangunkan ruang-ruang kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara,” katanya. Mengulas acara penyampaian anugerah tahunan itu, Fahad berkata sejumlah empat individu dari pelbagai negara akan menerima penghargaan.
 
Anugerah itu dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Pencapaian Cemerlang/Sepanjang Hayat; Inovasi; Penglibatan dan Kreativiti Belia serta Pendidikan dan Penyelidikan Akademik.
 
Selain wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut dijadual menghadiri acara itu yang akan berlangsung pada 7 Disember. Fahad berkata lawatan ketua negaranya itu ke Malaysia juga adalah sebagai membalas kunjungan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat ke Qatar pada November lepas.- Bernama

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
22
Semalam
148
Minggu Ini
860
Bulan Ini
1968

Keseluruhan
3408675