JAKARTA, 6 November - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) sebagai usaha membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa rentas sempadan antara kedua-dua negara, semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Dato' Sri Mohd Shukri Abdull berkata, kerjasama antara SPRM dan KPK selaras dengan Artikel 62, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC) iaitu komitmen untuk bekerjasama dari sudut perkongsian maklumat serta penyiasatan mengenai isu rasuah dan salah guna kuasa yang dihadapi kedua-dua negara.

Menurut Dato' Sri Mohd Shukri, inisiatif ini juga meliputi perkongsian kepakaran dalam aspek pengesanan, penyaluran maklumat, khidmat rundingan, pendidikan dan latihan dalam usaha meningkatkan integriti pegawai SPRM dan KPK dalam membanteras jenayah rasuah.

Pada masa yang sama, Dato' Sri Mohd Shukri Abdull turut mengadakan perbincangan bersama Pengerusi KPK, Agus Rahardjo mengenai kes-kes rasuah serta langkah-langkah pencegahan dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa bagi memastikan masalah yang boleh menjejaskan kemajuan ekonomi dan sosial kedua-dua negara itu dapat ditangani secara menyeluruh.

Majlis menandatangani MoU itu yang berlangsung semalam, turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Shamshun Baharin Mohd Jamil, Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Dato’ Nor Azmi Karim dan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), Dato’ Junipah Wandi.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
74
Semalam
159
Minggu Ini
233
Bulan Ini
3281

Keseluruhan
3404732