PUTRAJAYA, 10 Julai - SPRM dan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) mengadakan program Taklimat Agenda Antirasuah Nasional bagi memberi penerangan berkaitan isu rasuah kepada Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Program yang melibatkan 160 anggota pentadbiran kerajaan dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) ini adalah julung kali diadakan sejak GIACC dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Taklimat ini bertujuan membersihkan jentera pentadbiran negara daripada sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, selaras dengan hasrat YAB. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Semasa berucap pada majlis berkenaan, Tun Dr. Mahathir melahirkan harapan agar tiada seorang pun dari kalangan Ahli-ahli Parlimen akan terlibat dalam penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah.

“Kita harus mempamerkan diri sebagai pemimpin yang berwibawa, amanah, berintegriti dan tidak bertoleransi dengan jenayah rasuah," kata beliau yang turut berpesan agar tidak sekali-kali menggadai maruah negara dan memastikan pelaksanaan tugas bersandarkan kepada profesionalisme.

Dalam agenda ini, sebanyak lima taklimat berkaitan dengan pengisytiharan harta, penerimaan hadiah, pengurusan dan pentadbiran peruntukan Ahli-Ahli Parlimen, dan kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan kesalahan-kesalahan lazim dilakukan oleh anggota pentadbiran dan ahli-ahli Parlimen disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Mohd. Shukri Abdull dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil.

Selain itu, Tun Dr. Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut berkesempatan melawat konti MACC.FM untuk ditemubual.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Azam Baki; Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed serta Setiausaha-setiausaha Politik dan Setiausaha Sulit. 

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
240
Semalam
1313
Minggu Ini
6381
Bulan Ini
19418

Keseluruhan
3384021