Berita MPSP_BR1M

PUTRAJAYA, 16 Mei – Tiga cadangan penambahbaikan yang diusulkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan mengukuhkan lagi sistem dan tatacara kerja organisasi berhubung isu penguatkuasaan binaan tanpa kebenaran oleh MPSP.

Yang Dipertua MPSP Dato’ Sr Rozali Hj Mohamud berkata, MPSP menerima setiap cadangan yang dikemukakan dan telah pun mengambil langkah menyediakan garis panduan penguatkuasaan berhemah serta menambahbaik SOP penguatkuasaan sedia ada.

Beliau turut membentangkan garis panduan dan SOP yang telah disediakan serta membuat penambahbaikan semasa sesi khidmat nasihat oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP) SPRM bertempat di Menara MPSP, Sebarang Perai, pada 3 Mei yang lalu.

Pengarah BPMP SPRM Datuk Md Yusoff Md Zain telah mengetuai sesi khidmat nasihat ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah BPMP KPKPj Karunanithy Y. Subbiah serta pegawai-pegawai kanan yang lain.

Terdahulu, BPMP telah melaksanakan pemeriksaan berdasarkan penahanan seorang Exco Pulau Pinang oleh SPRM pada Ogos 2017 kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah kilang memproses habuk kayu yang beroperasi secara haram sejak 10 tahun lalu di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

Sementara itu, pihak Badan Kebajikan Rumah Warga Emas Darul Hanan Pulau Pinang bersetuju untuk melaksanakan tiga cadangan penambahbaikan bagi menutup ruang dan peluang rasuah yang disyorkan oleh Unit Pemeriksaan dan Perundingan (UPMP) SPRM Pulau Pinang berhubung kaedah pengurusan Wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) penghuni.

Pengurus Badan Kebajikan Rumah Warga Emas Darul Hanan Siti Sarah Yahaya memberikan komitmen tersebut semasa sesi khidmat nasihat yang diketuai oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Pulau Pinang PKPj Awangkok Ahmad Taufik Putra bertempat di Darul Hanan Pulau Pinang pada 2 Mei lalu. 

Turut hadir bersama adalah pegawai-pegawai UPMP SPRM Pulau Pinang serta kakitangan Rumah Warga Emas Darul Hanan.

 

TAMAT

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
237
Semalam
1313
Minggu Ini
6378
Bulan Ini
19415

Keseluruhan
3384018