KUALA LUMPUR, 13 Februari - Kempen Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah (GEMPUR) bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dilancarkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad di Auditorium Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari sempena Program Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) yang kedua pada tahun ini.

GEMPUR merupakan inisiatif terbaru SPRM yang memfokuskan usaha menyebarluas mesej anti rasuah bersama penjawat awam yang memfokuskan kepada PBT selain menjadikan anggota PBT lebih berintegriti.

Kempen berslogan ‘Anda Hulur, Kami Lapor’ ini merupakan penjenamaan semula kepada kempen ‘Perangi Pemberi Rasuah’ yang dilaksanakan pada tahun 2010 dan dilancarkan secara serentak di seluruh negara hari ini.

Melalui pelaksanaan kempen GEMPUR, SPRM mahu memberi peringatan kepada penjawat awam agar menolak rasuah dan melaporkan perbuatan tersebut kepada SPRM, di samping mendidik orang ramai agar tidak sesekali menawarkan rasuah kepada penjawat awam.

Pada masa yang sama, kempen GEMPUR ini turut dilancarkan bersama PBT di negeri-negeri lain seluruh Malaysia. SPRM Melaka melancarkan kempen bersama empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Majlis Perbandaran Jasin dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya. Sementara itu, SPRM Sarawak pula melancarkan kempen dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara manakala Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia melancarkan kempen GEMPUR dengan Majlis Perbandaran Selayang. 

Gimik pelancaran kempen GEMPUR dilaksanakan di hadapan lobi bangunan Ibu Pejabat DBKL dengan upacara melekatkan pelekat GEMPUR pada kenderaan DBKL.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Hj. Mhd. Amin Nordin Abd Aziz; Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Datuk Ibrahim Yusuf; Pengarah Eksekutif (Pengurusan) DBKL, Datuk Hj. Mustafa Mohd Nor; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd. Jamil; Timbalan Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Dato’ Jaafar Mahad; pengarah-pengarah bahagian SPRM dan Pengarah SPRM Kuala Lumpur, KPKPj Razaliah Ab. Rahman.

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
1683
Semalam
452
Minggu Ini
1683
Bulan Ini
12947

Keseluruhan
3254565